Demam Pokemon Go melanda

Demam Pokemon Go melanda

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Demam permainan Pokemon Go kini melanda Negara Brunei Darussalam, setelah permainan gabungan alam maya dan nyata itu mula boleh dimuat turun di telefon pintar para pengguna negara ini secara percuma.

Setelah dilancarkan oleh The Pokemon Company, Niantic Labs dan Nintendo di Asia baru-baru ini, permainan yang menggunakan informasi lokasi daripada telefon pintar itu kini berada di sini untuk dimainkan.

Bagi memainkannya, pengguna perlu menangkap, bertukar-tukar dan bertanding Pokemon di dunia nyata bersama pemain Pokemon Go lainnya melalui Pokemon Ball.

Permainan francais Pokemon yang sememangnya digemari ramai itu menjadi popular di seluruh dunia baru-baru ini.

Pokemon Go, permainan aplikasi telefon pintar kini dilancarkan di Asia termasuk Brunei Darussalam.
Pokemon Go, permainan aplikasi telefon pintar kini dilancarkan di Asia termasuk Brunei Darussalam.

Meskipun banyak insiden berlaku di luar negara membabitkan permainan ini, salah seorang pemain di sini, menasihatkan penggemar Pokemon Go agar berhati-hati ketika bermain.

Law Choon Roei, yang merupakan peminat tegar Pokemon sejak dahulu, menasihatkan para pemain agar lebih berhati-hati dengan permainan ini seperti amaran awal dalam aplikasi yang menasihatkan pemain berhati-hati dengan persekitaran mereka dan jangan bermain semasa memandu serta tidak memasuki kawasan larangan.

Menurut Law, permainan masa kini lebih menarik dan sukar, namun rasa bangga terbit apabila dapat menangkap raksasa Pokemon di mana-mana Pokestop, iaitu tempat mengumpul atau membeli barangan Pokemon.

Manakala bagi Dayang Syazana Sallehuddin, bermain Pokemon Go mendorong beliau menjelajah tempat-tempat baru bermula dari tempat tinggalnya sehinggalah kawasan lain.

Begitu juga Dayang Siti Zanariah binti Haji Mohammad yang memuat turun aplikasi itu bersama tunangnya dan bersiar-siar di Bandar Seri Begawan memburu raksasa yang muncul dengan banyak di sekitarnya.

“Tak sangka permainan ini sangat menyeronokkan, bahkan seharian kami mengumpul raksasa ini sambil bersiar-siar pada hari libur hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan bahawa permainan ini boleh membahayakan, melalaikan dan membuang masa.

Menurut Awang Faiz Marali, permainan ini sangat membahayakan kerana ia membuatkan masyarakat kurang berkomunikasi dan tidak menghiraukan keselamatan.

Ini kerana orang ramai boleh sahaja memasuki kawasan dilarang tanpa sengaja, selain ia membazir kerana data Internet pengguna tanpa disedari akan habis gara-gara menggunakan GPS untuk mencari raksasa Pokémon.

 

ARTIKEL YANG SAMA