Demba patah kaki di China

Demba patah kaki di China

SHANGHAI, 18 Julai – Kerjaya bekas penyerang Chelsea, Demba Ba mungkin berakhir selepas pemain berusia 31 tahun itu berdepan dengan kecederaan patah kaki yang ngeri ketika beraksi di Shanghai pada hujung minggu.

Pemain yang meninggalkan Stamford Bridge pada 2014 cedera ketika pasukannya menentang kelab Shanghai SIPG, semalam yang menyaksikannya kakinya dibentes pemain lawan, Sun Xiang ketika sedang merebut bola.

Ketika bersama Chelsea, Ba meledak 14 gol dalam 51 penampilannya di Stamford Bridge.

Kelab Inggeris itu dalam laman Twitter mengucapkan selamat buat Ba.

“Semua di Chelsea FC mengucapkan yang terbaik buat bekas penyerang @dembabafoot. Semoga cepat sembuh Demba.”

Reaksi Demba Ba semasa berdepan dengan kecederaan patah kaki semasa perlawanan 17 pusingan bola sepak Liga Super China di Shanghai. – AFP
Reaksi Demba Ba semasa berdepan dengan kecederaan patah kaki semasa perlawanan 17 pusingan bola sepak Liga Super China di Shanghai. – AFP

Ketiadaan penyerang kelahiran Senegal itu pasti akan dirasai Shenhua kerana dia adalah penjaring terbanyak liga elit China itu ketika ini dengan 14 gol dalam 18 perlawanan.

Dalam perlawanan terbabit, Shenhua menang dengan keputusan 2-1.

Selain Chelsea, Ba pernah beraksi bersama Newcastle United dan kelab Turki, Besiktas sebelum menyertai Shenhua pada Jun tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, jurulatih Shenhua, Gregorio Manzano berkata kejadian itu boleh sahaja menamatkan kariernya.

“Dalam 33 tahun saya sebagai seorang jurulatih saya menang, keluar dan kalah, tetapi hari ini adalah kemenangan yang paling pahit kerana apa yang berlaku kepada Demba Ba adalah apa yang tidak pernah mahu dilihat,” kata Manzano.

“Bola sepak kadang-kadang adalah tidak adil, membiarkan apa-apa perkara yang amat besar berlaku kepada seorang lelaki yang baik. Yang boleh menamatkan kerjaya pemain.” – AFP