Demi anak si bapa mencuri

Demi anak si bapa mencuri

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160330_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Seorang bapa yang sanggup mencuri kerana ingin menyara anaknya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Haji Awang Sharol bin Ali, 39, didakwa mencuri satu silinder gas dari sebuah rumah di Kampung Tanjong Bunut antara lewat tengah malam 11 dan 12 Mac 2016, dan mencuri alat penghawa dingin; katil anak damit; meja kecil dan kerusi pejabat di sebuah rumah di Jalan Beribi sekitar Mac 2016 bersama rakan sejenayahnya, Inayatullah bin Matasin, 20, yang juga mengaku bersalah kerana membantunya untuk melakukan curi.

Inayatullah turut berdepan dakwaan mencuri sebuah kereta Toyota Kijang di kawasan letak kereta di Kampung Kiulap pada 2 Mac 2016 kira-kira jam 5 pagi, dan juga menghadapi pertuduhan mencuri pemain pita radio Xplod dari kereta Honda Stream di flat Airport Lama antara 10 dan 14 Mac 2016.

Fakta kes menyebut, Inayatullah menjual silinder gas itu sekitar $50 dan menggunakan wang itu untuk membeli minyak kereta dan makanan.

Kedua-dua tertuduh juga menjual sebahagian daripada barang yang dicuri dari rumah di Jalan Beribi itu pada harga $30 ke $40, dan mereka turut mendapat dadah Methylamphetamine bernilai $30 sebagai bayaran bagi barang curi itu.

Inayatullah kemudian menjual dadah itu kepada orang lain.

Untuk kesalahan mencuri kereta, Inayatullah telah menukar plat kereta itu kepada nombor yang lain, dan menggunakan kereta itu untuk melakukan jenayah curi sebelum meninggalkannya di Pejabat Pos Mata-Mata apabila kereta itu mengalami masalah enjin.

Dia turut menjual pemain pita radio Xplod itu pada harga $20 dan menggunakan wang itu untuk membeli minyak kereta dan makanan.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh untuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing selama 10 minit sebelum dibawa ke Penjara Jerudong untuk tahanan reman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA