Demi kesejahteraan serantau

Demi kesejahteraan serantau

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Penubuhan Komuniti ASEAN dalam tahun ini adalah tepat pada waktunya kerana rantau ini merupakan sebuah komuniti yang penuh dengan pelbagai peluang, selain menjadi rantau yang paling dinamik dan pesat membangun di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Elaine Tan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN juga dijangka meningkat tiga kali ganda kepada AS$3 trilion menjelang 2017 dan Bank Pembangunan Asia turut menganggarkan jumlah penduduk kelas pertengahannya akan meningkat kepada 65 peratus menjelang 2030 dalam perkembangan yang akan merubah landskap pengguna global.

Dengan pembangunan pesat, rantau ASEAN juga menghadapi pelbagai cabaran termasuk keadaan ekonomi yang kurang baik yang sudah tentu akan menjejaskan penubuhan komunitinya.

Oleh itu, amat penting bagi anggota ASEAN untuk terus bekerjasama supaya mampu bersaing dalam sistem ekonomi global yang berintegrasi, katanya dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Rangkaian Universiti ASEAN untuk Perniagaan dan Ekonomi (AUN-BE) ke-15 di Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Perasmian mesyuarat agung berkenaan disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq @ Lin Naing.

Profesor Wihana Kirana Jaya (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Haji Mohammad Nabil.
Profesor Wihana Kirana Jaya (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Haji Mohammad Nabil.

Elaine dalam ucapannya berkata, Yayasan ASEAN merupakan satu organ di bawah Piagam ASEAN yang bekerjasama dengan badan-badan serantau yang lain untuk mempromosikan kesedaran mengenai rantau ini kepada masyarakat khususnya untuk memberikan kefahaman mengenai peranan dan dasar-dasar serantau yang boleh memberikan manfaat kepada penduduk.

Di samping itu, Yayasan ASEAN juga berusaha untuk menyelaraskan lebih banyak kerjasama di kalangan penduduk dan terus mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk ahli akademik, badan kemasyarakatan serta perniagaan.

Pada masa yang sama, tambah Elain, Yayasan juga merupakan rakan kongsi lama dan berpengalaman Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) di mana ia telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan lagi pertukaran dan kerjasama akademik di antara AUN dengan institusi pengajian tinggi di rantau Asia dan antarabangsa.

Menurutnya, antara program yang dirangka oleh Yayasan ASEAN ialah penempatan perniagaan yang masih pada peringkat perbincangan dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN mengenai kaedah perlaksanaannya.

Beliau percaya program itu merupakan salah satu daripada program yang menunjukkan bagaimana sektor swasta mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan Komuniti ASEAN.

Menurut Elaine lagi, Yayasan ASEAN terus berminat untuk meningkatkan lagi kerjasamanya dengan AUN bagi membina sebuah komuniti yang inklusif dan berpusatkan masyarakat.

Terdahulu, Pemangku Dekan Fakulti School of Business and Economy UBD (UBDSBE), Dr Haji Mohammad Nabil Almunawar berkata mesyuarat tahunan itu penting dalam merangka agenda dan hala tuju masa depan AUN-BE dan pada masa sama, mengukuhkan hubungan melalui kerjasama negara-negara anggota.

Pengerusi AUN-BE, Profesor Wihana Kirana Jaya pula berkata, tumpuan kegiatan dan program yang dilaksanakan oleh AUN-BE adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan menerusi pertukaran serta mengemaskinikan maklumat dalam kalangan anggota.

Untuk itu, AUN-BE telah membangunkan laman sesawang yang baru di mana semua anggotanya dialu-alukan untuk menghantar bahan mengenai kegiatan yang akan dan telah dikendalikan. Beliau juga yakin masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan oleh anggota AUN-BE untuk mencapai misi dan visinya di mana kerjasama dan sokongan di antara semua anggota mampu untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka.

Mesyuarat selama dua hari bermula hari ini hingga 22 September diadakan untuk mempromosi dan mengukuhkan lagi hubungan di antara ahli rangkaian perniagaan dan ekonomi, meningkatkan lagi kualiti program akademik perniagaan dan ekonomi anggotanya.

Mesyuarat itu telah dihoskan oleh UBD buat kali ketiga setelah kali pertama diadakan pada 2004 dan kedua pada 2011. Mesyuarat kali ini lebih menumpukan kepada perbincangan mengenai peta jalan strategik AUN-BE di mana anggotanya dijangka memberikan persetujuan mengenai agenda perbincangan serta kerjasama dengan anggota bersekutu yang baru.

Mesyuarat dua hari itu juga membincangkan mengenai perkembangan dan kegiatan utama yang dilaksanakan oleh rangkaian serta usaha untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara ahli rangkaian.

ARTIKEL YANG SAMA