Demi keselamatan pelajar

Demi keselamatan pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan mengambil inisiatif dengan syarikat yang terlibat melaksanakan tanggungjawab kemasyarakatan mereka menyumbang jaket keselamatan, dalam usaha menjamin keselamatan pengguna bot temuai terutama sekali bagi murid sekolah di Kampong Ayer.

Majlis penyerahan sumbangan jaket keselamatan dan pelampung kepada sekolah-sekolah di sekitar Kampong Ayer berlangsung hari ini di Dewan Kuliah Sekolah Rendah Pusar Ulak Kluster 1.

Pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus menerima sumbangan daripada lapan buah syarikat penaja seterusnya menyerahkan kepada 12 buah sekolah yang menerima sumbangan itu.

Ketua Bahagian Kenderaan dan Pengangkutan, Awang Ariffin @ Abdullah bin Deng dalam ucapannya pada majlis tersebut berharap jaket keselamatan yang disumbangkan itu akan dapat di manfaatkan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan pengguna bot temuai.

Beliau juga berharap sekolah yang menerima sumbangan ini dapat menerapkan kesedaran kepada warga sekolah mengenai mustahaknya pemakaian jaket keselamatan dan menjadikannya satu amalan rutin yang bukan hanya digunakan semasa menaiki bot temuai tapi semasa menaiki bot tambang dan sebagainya.

Pengiran Haji Rosli menyerahkan jaket keselamatan kepada salah seorang guru besar sekolah di Kampong Ayer, kelmarin.
Pengiran Haji Rosli menyerahkan jaket keselamatan kepada salah seorang guru besar sekolah di Kampong Ayer, kelmarin.

Menurutnya, Bahagian Kenderaan dan Pengangkutan, Bahagian Kesihatan, Keselamatan Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE), Kementerian Pendidikan mengambil perhatian serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan warga kementerian yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan sama ada di darat atau di laut.

Beliau seterusnya menekankan setiap operator bot temuai perlu memastikan jaket keselamatan ada tersedia di dalam setiap bot temuai yang berkontrak dengan Kementerian Pendidikan.

Di samping itu, tambah beliau, pihaknya juga telah mengadakan sesi taklimat mengenai cara pemakaian jaket berkenaan dengan cara yang betul di beberapa buah sekolah di Kampong Ayer dan usaha ini akan diteruskan sebagai salah satu rancangan kerja bahagian berkenaan.

Majlis penyerahan sumbangan hari ini diserikan dengan tayangan video Kumpulan Kerja Cemerlang dari Kumpulan ATP/HSSE Kementerian Pendidikan bertajuk, ‘Penggunaan Jaket Keselamatan Semasa Menaiki Bot Temuai Sekolah Kurang Berkesan’.

Hadir menyaksikan penyerahan jaket keselamatan dan pelampung itu ialah Pegawai Keselamatan Kemudahan dan Pelabuhan Haji Zainal bin Haji Dollah selaku Pemangku Pengarah Jabatan Laut.

ARTIKEL YANG SAMA