Demonstrasi desak Presiden Moldova letak jawatan

Demonstrasi desak Presiden Moldova letak jawatan

CHISINAU, 7 Sept (AFP) – Berpuluh-puluh ribu warga Moldova berhimpun di ibu negara Chisinau semalam untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Nicolae Timofti dan segera diadakan pemilihan presiden baru, menurut para penganjur.

Demonstrasi itu dicetuskan oleh kemarahan awam berhubung skandal perbankan bernilai lebih AS$1 bilion yang menjejaskan Negara bekas Soviet tersebut, salah sebuah negara paling miskin di Eropah.

“Kami akan terus berada di sini sehingga tuntutan kami dipenuhi,” laung seorang peguam Andrei Nastase, salah seorang mereka yang menganjur perhimpunan berkenaan.

Para penganjur berkata di antara 50,000 dan 100,000 mereka yang mengadakan demonstrasi berhimpun di kawasan medan Chisinau untuk mendesak peletakan jawatan Timofti serta diadakan pilihan raya bagi presiden baru, yang pada masa ini dipilih oleh parlimen.

Mereka turut menggesa bagi peletakan jawatan pegawai-pegawai tertinggi di bank pusat Moldova dan pejabat peguam negara, sekali gus mendesak kerajaan meneruskan integrasi dengan Eropah.

Sebahagian daripada berpuluh-puluh ribu warga Moldava ketika mengadakan perhimpunan di ibu negara Chisinau pada 6 September 2015 untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Nicolae Timofti. – AFP
Sebahagian daripada berpuluh-puluh ribu warga Moldava ketika mengadakan perhimpunan di ibu negara Chisinau pada 6 September 2015 untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Nicolae Timofti. – AFP

Para pemimpin demonstrasi mengemukakan tuntutan mereka kepada perdana menteri baru Moldova yang pro-Eropah, Valeriu Strelet, yang mengambil alih jawatan itu pada akhir Julai dengan ikrar untuk bertindak ke atas amalan rasuah.

Tahun lepas, Moldova, yang terletak di antara Ukraine dan Romania, memeterai perjanjian untuk membawanya lebih rapat dengan keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) meskipun menerima tentangan daripada Rusia, bekas “tuan” Soviet.

Moscow segera mengenakan pengharaman ke aras import buah-buahan Moldova dalam usaha tindak balas bagi pengalihan kepada Barat.

ARTIKEL YANG SAMA