Demonstrasi Sains libat kerjasama guru dan pelajar

Demonstrasi Sains libat kerjasama guru dan pelajar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 April – Pertandingan Pertunjukan Sains, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) Brunei Darussalam kembali lagi tahun ini, dengan format kali ini melibatkan penyertaan pelajar dan guru untuk bekerjasama melakukan pelbagai demonstrasi sains menggabungkan unsur-unsur interaktif dan kreatif yang menyeronokkan.

Setiap pasukan akan menghasilkan pertunjukan yang membawa pelbagai faktor menyeronokkan dan elemen ‘Ha-Ha’ untuk menarik minat para juri dan penonton.

Pusingan pertama pertandingan akan bermula pada 14 April ini di Universiti Teknologi Brunei (UTB), di mana 10 pasukan akan bertanding bagi mendapatkan lima tempat teratas dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 17 April 2016.

Sebelum itu, sebagai persediaan untuk memberikan lebih banyak idea kepada para peserta, OGDC akan menganjurkan bengkel percuma pada 11 dan 12 April ini, yang bakal mengetengahkan pakar Sains terkemuka di dunia, Dr Graham Walker.

Menjelaskan mengenai pertandingan itu, Pengurus Projek, Dayang Nur Karnina binti Karim berkata, untuk menjayakan persembahan Sains, peserta perlu membawa keunikan untuk menarik perhatian penonton.

Para peserta yang terlibat dalam pertandingan tersebut.
Para peserta yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

Salah satu caranya ialah dengan membuat demo Sains berkaitan dengan kehidupan seharian mereka, dengan menggunakan barang-barang biasa dari pasar raya atau perkakasan kedai.

Dalam usaha menjadikan pertandingan tersebut lebih menarik dan mencabar, para peserta akan dinilai oleh orang ramai.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengundi bagi membolehkan pasukan kegemaran mereka mara ke perlawanan akhir kemudian bagi memilih tiga pemenang utama. Undian boleh dilakukan melalui laman Instagram rasmi pertandingan pertunjukan sains @OGDCbrunei.

“Jadi jika anda mahu pasukan kegemaran anda untuk menang, sila ikuti @OGDCbrunei dan ‘like’ video mereka,” ujar Dayang Nur Karnina.

Sementara itu, OGDC turut memaklumkan bahawa tiket untuk menyaksikan demonstrasi pendidikan Sains Dr Graham Walker kini masih lagi boleh didapati di Cube B13 Megabox, The Mall, Gadong; Boza Remittance Bangunan BSB Bumiputera dan UTB bagi pertunjukan yang akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada 13 dan 15 April di UTB.

Bagi demonstrasi di Daerah Belait yang sedang diadakan sejak 9 hingga 12 April, tiket-tiket masih boleh didapati di kaunter resepsi OGDC dan petak OGDC di Pusat Membeli-Belah KBSentral.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan pertunjukan Sains atau demonstrasi Sains oleh Dr Graham Walker, orang ramai bolehlah menghubungi OGDC di talian 3377200 atau menghantar e-mel ke alamat info@ogdcbrunei.com.

ARTIKEL YANG SAMA