Demonstrasi tangani kebakaran hutan

Demonstrasi tangani kebakaran hutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Nov – Seramai 30 orang anggota bomba yang terdiri daripada pegawai-pegawai bomba dan pegawai-pegawai daripada beberapa agensi lainnya, telah terlibat dalam demonstrasi menangani kebakaran hutan tanah gambut yang diadakan di kawasan Saluran Paip Badas Lumut, di sini, hari ini.

Turut sama menyaksikan demonstrasi tersebut, ialah tiga orang pegawai pertahanan dari Perancis, Bruno Ulliac, Pierre Salinesi dan Michel Maufroy, serta pegawai-pegawai pemerintah Cawangan Operasi ‘C’, ‘D’, ‘E’ dan ‘G’ dan juga ketua dan timbalan ketua pemerintah operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat.

Dalam temu bual bersama Ketua Pemerintah Operasi, Penguasa Kanan Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawi memberitahu, demonstrasi yang dinamakan Lawatan Lapangan Operasi itu merupakan salah satu daripada acara dalam bengkel diadakan selama empat hari di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat bermula Isnin lalu.

Menurutnya, semasa demonstrasi, ketiga-tiga pegawai dari Perancis berkenaan bertindak selaku pemerhati bagi memberikan maklum balas, tentang kaedah untuk penambahbaikan dalam operasi memadam api kebakaran hutan.

Seramai 20 orang pegawai bomba dan 12 orang pegawai daripada agensi-agensi seperti Brunei LNG Sdn bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang selalunya bertindak sebagai bantuan pemadam daripada udara, pegawai paramedik dan juga Jabatan Perhutanan adalah antara yang terlibat menyertai demonstrasi yang diketuai oleh Pegawai Balai, Awang Mohamad bin Ali.

Penerangan mengenai dengan operasi dilakukan di kawasan Kem Pos Kawalan Operasi yang didirikan semasa demonstrasi tersebut.
Penerangan mengenai dengan operasi dilakukan di kawasan Kem Pos Kawalan Operasi yang didirikan semasa demonstrasi tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemerintah Operasi, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Dayang Siti Masnur Juraini Jini pula memberitahu, semasa demonstrasi tersebut, kem Pos Kawalan Operasi (ICP) telah didirikan, selain telah memperlihatkan tatacara mengatasi kebakaran dan peralatan-peralatan yang digunakan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Selepas itu, peserta demonstrasi kembali ke Balai Bomba Sungai Liang untuk mendengarkan taklimat mengenai fungsi ICP, serta mendengarkan maklum balas daripada tiga pegawai pertahanan Perancis berkenaan melalui apa yang sudah disaksikan seterusnya mengongsikan kaedah-kaedah yang boleh menambahbaikkan lagi operasi pemadaman api hutan, yang sering dihadapi di negara ini jika berlaku musim panas berterusan.

Menyentuh tentang kejadian kebakaran hutan pada tahun ini, Dayang Siti Masnur menjelaskan, bentuk kejadian pada tahun ini agak berubah, berikutan berlakunya fenomena El Nino.

Menurutnya, pada kebiasaannya kebakaran mula berlaku pada bulan Mac dan Ogos, tetapi tahun ini ia agak teruk sedikit dan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk memadamkannya.

“Melalui demonstrasi hari ini, ketiga-tiga pegawai pertahanan daripada Perancis yang mempunyai pengalaman ke atas kebakaran hutan besar, antara lain menasihatkan supaya pihak bomba dan penyelamat menggunakan segala keperluan yang ada, mereka juga menjelaskan strategi pemadaman adalah berbeza, begitu juga dengan peralatan juga berbeza kerana mereka mempunyai peralatan yang  lebih canggih,” ujarnya.

Manakala itu, Bruno Ulliac pula memberitahu, selama beberapa hari mereka berada di negara ini, sebagai fasilitator bengkel, mereka telah mendapatkan makluman mengenai kebakaran hutan, daripada semua jabatan bomba di negara ini, dan bagaimana mereka melaksanakan kaedah pemadaman api di kawasan tanah gambut.

“Di Perancis, kami mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai kejadian kebakaran hutan dan dengan keberadaan kami di sini, adalah untuk membantu dan memberikan nasihat bagi kaedah pemadaman ke atas tanah gambut yang memang tidak disangkal bukanlah satu perkara yang mudah dan kami hanya ingin menolong dari segi nasihat dan bagi meningkatkan sistem tindak balas dengan sistem kecemasan,” katanya.

Beliau yang berpangkalan di Singapura sejak tiga tahun lalu, turut berharap akan dapat datang lagi ke negara ini, semasa musim kebakaran hutan, untuk menyaksikan secara realiti sekali gus akan dapat memberikan maklum balas yang lebih berkesan.

Ekoran keadaan cuaca panas awal tahun ini, beberapa kejadian kebakaran hutan telah dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, lebih 500 panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan telah diterima pada awal tahun, Januari hingga Mac lalu.