Denda $11,500 kerana bawa rokok seludup

Denda $11,500 kerana bawa rokok seludup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Sept – Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman denda $11,500 hari ini setelah mengaku bersalah atas kesalahan cubaan menyeludup 39 karton rokok melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh pada tahun 2012.

Tertuduh Abdul Rahim Daraman, telah diberikan tempoh selama 12 bulan oleh Majistret Kuala Belait untuk membayar denda berkenaan, setelah memohon diringankan hukuman atas sebab tidak mempunyai pekerjaan dan menanggung tujuh orang anak.

Tertuduh telah gagal mengisytiharkan rokok yang dibawanya masuk melalui pos kawalan pada 9 Julai 2012, dan setelah pemeriksaan lanjut oleh pegawai kastam ke atas bonet keretanya didapati 16 karton rokok ditemui dalam kotak penyejuk, manakala 19 karton lainnya ditemui disimpan dalam kotak kasut.

Sementara empat karton lagi disembunyikan di bawah alas lantai di tempat duduk penumpang bahagian depan.

Denda yang dikenakan adalah bagi kira-kira enam kali duti eksais rokok yang dibawa berjenama Era dan Extreme, jika tertuduh gagal membayar sehingga tempoh September 2016, dia akan menghadapi hukuman tujuh bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA