Denda $2,500 miliki rokok

Denda $2,500 miliki rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151222_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Seorang warga emas dijatuhi denda $2,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki rokok yang tidak dikenakan cukai pada 2012.

Siti Johyah binti Kadir, 66, didakwa memiliki tujuh karton dan sembilan paket rokok di rumahnya di STKRJ Telisai pada 30 Januari 2012 kira-kira jam 7:08 malam.

Fakta kes menyebut, ketika pegawai pencegah kastam membuat pemeriksaan, defendan telah meminta keizinan dengan memberi alasan ‘ingin menukar pakaian’ sebaliknya telah membuang keluar beg plastik berwarna hitam melalui tingkap bilik tidurnya.

Perbuatannya bagaimanapun disedari oleh pegawai terbabit dan mendapati ia mengandungi rokok.

Defendan mengaku membeli rokok itu di kedai Limbang pada harga RM20 untuk satu karton untuk dijual pada harga $2 satu paket bagi menambah perbelanjaan hariannya.

Defendan dalam rayuannya memohon pertimbangan kepada mahkamah agar dapat membayar secara ansuran memandangkan dia hanya menerima pencen tua sejumlah $250 setiap bulan.

Cukai yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk memiliki rokok itu ialah $411.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memberi tempoh sehingga Disember 2017 untuk defendan membayar denda itu, dan jika gagal akan berdepan dua bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA