Denda $2,600 miliki rokok

Denda $2,600 miliki rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151102_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Mahkamah Majistret, semalam, menjatuhi hukuman denda $2,600 ke atas seorang lelaki penduduk tetap selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan.

Jamiaan bin Jamahat, 58, didakwa memiliki tujuh karton rokok ketika kereta yang dipandunya ditahan oleh pegawai kastam di Pos Kawalan Kuala Lurah sekitar jam 11:45 pagi pada 9 Januari 2015.

Kertas pertuduhan menyebut, defendan memberitahu dia tidak ada barang yang hendak diisytiharkan ketika ditanya oleh pegawai bertugas namun pemeriksaan menyeluruh menemui sejumlah karton rokok itu di bawah tempat duduk penumpang belakang.

Ketika disoal-siasat, defendan mengaku membeli rokok itu pada harga $50 di Limbang. Duti eksais rokok untuk tujuh karton rokok ialah $320.

Defendan yang merayu untuk membayar secara ansuran diperintahkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid untuk membayar $250 setiap bulan, bermula minggu pertama November sehingga minggu pertama Oktober 2016.

Gagal untuk menjelaskan sebarang pembayaran, akan menyebabkan defendan meringkuk dalam penjara selama dua bulan.

Pegawai Pendakwa Kastam memohon kepada mahkamah untuk kesemua rokok dalam senarai rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.