Denda $4,000 miliki alat penyiaran tidak diisytiharkan

Denda $4,000 miliki alat penyiaran tidak diisytiharkan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Seorang penyelia di Syarikat Oregon System didenda $4,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki peralatan penyiaran yang tidak diisytiharkan.

Chong Kim Leong, 33, dari Malaysia turut mengaku syarikatnya tidak mempunyai lesen untuk menjual peralatan penyiaran tersebut.

Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman turut memerintahkan tertuduh untuk dipenjarakan empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Kertas pertuduhan menyebut, penguat kuasa dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei menyerbu premis syarikat yang terletak di Gadong sekitar jam 2:05 petang pada 29 September 2014.

Anggota penguat kuasa menemui 100 set Tv Smart Android, 20 set alat pemain Wonder IT, 17 set lagi alat pemain Wonder IT, 300 keping kad tambah nilai Android Online Movie, dua set terpakai Tv Smart Android dan dua set terpakai alat pemain Wonder IT.

Peralatan penyiaran yang dibeli dari Kuching itu telah diserahkan kepada pihak kastam.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi binti Pengiran Latif.

ARTIKEL YANG SAMA