Denda $4,000 miliki rokok tidak diisytihar

Denda $4,000 miliki rokok tidak diisytihar

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi denda $4,000 ke atas seorang wanita tempatan selepas mengaku bersalah memiliki rokok yang tidak diisytiharkan kepada pihak kastam.

Fatmah binti Haji Shamsuddin, 44, didakwa memiliki 15 karton rokok di dalam keretanya pada 20 April 2015.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin mengarahkan defendan untuk membayar $200 hari ini, dan $200 lagi pada hujung bulan Disember dan $300 untuk bulan seterusnya sehingga habis.

Gagal membuat sebarang pembayaran akan menyebabkan defendan dipenjarakan selama empat bulan.

Fakta kes menyebut, kereta yang dipandu oleh suami defendan ketika itu ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah untuk pemeriksaan di mana pegawai kastam menemui rokok-rokok disimpan dalam beg plastik yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan di bahagian letak kaki penumpang depan.

Defendan ketika disoalsiasat mengaku bahawa kesemua rokok itu adalah miliknya, dan dia membelinya pada harga $141 di Limbang.

Duti eksais yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk membawa masuk rokok-rokok itu ialah $630.

Majistret Kanan mengarahkan kesemua rokok itu diserahkan kepada kerajaan.