Denda $4,000 miliki rokok tidak diisytiharkan

Denda $4,000 miliki rokok tidak diisytiharkan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi denda $4,000 ke atas seorang lelaki penduduk tetap atas kesalahan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan pada tahun 2013.

Layang anak Usat, 52, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abd Hamid kerana memiliki 10 karton rokok dalam kereta yang ditumpanginya ketika ditahan di kawasan Pos Kawalan Kastam Ujong Jalan, Temburong pada 28 Januari 2013 kira-kira jam 5:10 petang.

Defendan dalam kata rayuannya memohon kepada mahkamah agar hukuman denda diringankan memandangkan dia tidak bekerja.

Majistret Dewi Norlelawati memberi tempoh sehingga 31 Oktober 2016 untuk defendan membayar denda, dan jika gagal akan berdepan empat bulan penjara.

Kertas pertuduhan menyebut, pegawai pemeriksa kastam menahan kereta yang dipandu oleh anak perempuan defendan bersama dua orang penumpang, termasuk defendan sendiri.

pg06_151029_mahkamah logo

Ketika ditanya, pemandu kereta hanya memberitahu, tidak ada barang yang hendak diisytiharkan namun pemeriksaan menyeluruh menemui rokok-rokok tersimpan dalam beg plastik di but kereta.

Ketika ditanya oleh Majistret, defendan mengaku kesemua rokok itu adalah kepunyaannya dan anaknya (pemandu) tidak mengetahui bahawa dia telah membeli rokok itu di Limbang dan menyimpannya dalam but kereta.

Defendan mengaku rokok yang dibeli pada harga $55 itu adalah untuk dirinya sendiri.

Pegawai Pendakwa Kastam memohon kepada mahkamah untuk rokok yang telah dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA