Denda $4,600 miliki rokok, sayap ayam

Denda $4,600 miliki rokok, sayap ayam

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151217_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Seorang wanita tempatan dijatuhi denda $4,600 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki rokok dan sayap ayam yang tidak diisytiharkan.

Siti Firamidah binti Haji Hamdi, 27, dari STKRJ Kampung Rimba didakwa memiliki 14 karton dan 13 paket rokok di kawasan Kuala Lurah pada 24 Mac 2015 kira-kira jam 8:30 malam.

Defendan pada tarikh dan tempat yang sama juga berdepan dakwaan memiliki tiga paket sayap ayam (Rose).

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman mengarahkan defendan untuk membayar $350 setiap bulan, bermula hujung Disember ini sehingga selesai, dan jika gagal berbuat demikian akan menyebabkan defendan dipenjarakan selama dua bulan satu minggu.

Fakta kes menyebut, defendan ketika melalui pemeriksaan kastam memberitahu dia tidak mempunyai barang yang hendak diisytiharkan, namun pemeriksaan yang dijalankan menemui rokok-rokok disimpan di bahagian letak kaki penumpang depan dan belakang, dan di tempat duduk penumpang belakang, manakala lima paket sayap ayam ditemui disimpan di bahagian tengah letak kaki penumpang belakang.

Defendan memberitahu dua daripada paket ayam yang ditemui itu milik rakannya.

Defendan mengaku membeli sayap ayam itu di Limbang pada harga $10 untuk satu paket dan rokok-rokok itu pula dibelinya daripada seseorang yang tidak dikenalinya di Brunei pada harga $183.

Majistret Pengiran Shahyzul mengarahkan kesemua barang rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA