Denda $4,800 miliki rokok tanpa pengisytiharan

Denda $4,800 miliki rokok tanpa pengisytiharan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Gara-gara memiliki rokok untuk dijual kepada orang ramai pada harga $2 satu paket, telah mengundang padah kepada seorang warga emas yang berusia 67 tahun apabila dijatuhi denda $4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Haji Damit bin Arsat mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain kerana memiliki 11 karton dan 27 paket rokok pelbagai jenama yang tidak diisytiharkan di kediamannya di STKRJ Kampung Rimba pada 9 April sekitar jam 11:26 pagi.

Majistret Kanan memerintahkan defendan untuk membayar $150 setiap bulan sehingga selesai apabila defendan merayu untuk membayar denda secara ansuran. “Jika kamu terlepas membuat sebarang pembayaran, kamu akan dimasukkan ke dalam penjara selama empat bulan,” tegas Majistret Kanan.

Kertas pertuduhan menyebut, sepasukan pegawai pencegah kastam menemui rokok-rokok itu disimpan di kerusi dan dalam kontena ketika membuat serbuan ke rumah defendan.

mahkamah

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu di Pasar Limbang untuk tujuan dijual kepada orang ramai.

Pegawai Pendakwa Kastam memohon kepada mahkamah untuk kesemua rokok dengan nilai cukai $701 yang telah dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA