Denda $48,000 kerana seludup rokok

Denda $48,000 kerana seludup rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Gara-gara menyeludup rokok ke negara ini, seorang lelaki Indonesia telah dijatuhi hukuman denda $48,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman turut memerintahkan Ajir, 50, dipenjara 14 bulan jika gagal membayar denda itu.

Defendan didakwa memiliki 125 karton rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam bahagian kotak gear sebuah bas yang dipandunya ketika ditahan di kawasan Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 11 Julai 2015 kira-kira 4:50 petang.

Menurut fakta kes, defendan yang ketika itu membawa tujuh orang penumpang memberitahu pegawai kastam yang bertugas bahawa dia tidak membawa apa-apa barang untuk diisytiharkan.

Namun pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan ke atas bas itu menemui rokok-rokok tersebut disembunyikan dalam plastik berwarna hitam dalam bahagian kotak gear bas tersebut.

Ketika disoal siasat, defendan mengaku dia telah disuruh oleh seorang lelaki Malaysia di Pujut untuk membawa rokok-rokok itu ke Muara di mana dia akan menerima bayaran untuk pengangkutan sebaik tiba di sana.

ARTIKEL YANG SAMA