Denda $5,000 sabit miliki rokok seludup

Denda $5,000 sabit miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150714_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman denda $5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas seorang lelaki Malaysia selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup.

Dong Kai Ti, 21, menghadapi pertuduhan memiliki 11 karton dan 10 paket rokok di dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kastam, Kuala Lurah pada 2 Oktober 2013.

Defendan dalam rayuannya memohon kepada mahkamah untuk meringankan hukuman dan meminta tempoh pembayaran jika dikenakan denda memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan.

“Bagaimana kamu hendak membayar denda jika kamu tidak bekerja,” kata Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli yang mana defendan menjawab bahawa dia sedang mencari kerja pada masa ini.

Ketua Majistret memerintahkan defendan untuk membayar $500 setiap bulan, bermula hujung Julai 2015.

Fakta kes menyebut, defendan yang tinggal di Kampung Ratan, Labi daerah Belait ditahan kira-kira jam 4 petang bersama dua orang penumpang.

Pemeriksaan ke atas kereta defendan menemui rokok-rokok disembunyikan di beberapa bahagian kereta dan juga di dalam beg penumpang dan di dalam kotak kasut.

Defendan mengaku bahawa kesemua rokok itu dibelinya di Limbang untuk kegunaannya.

ARTIKEL YANG SAMA