Denda $5,400 gara-gara rokok

Denda $5,400 gara-gara rokok

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Sept – Seorang lelaki tempatan, hari ini, telah dijatuhi hukuman denda $5,400 setelah didapati bersalah memiliki sejumlah 14 karton rokok tanpa cukai yang disimpan di rumahnya di Skim Rancangan Perumahan Panaga tahun lalu.

Jasani bin Haji Ali, 49, telah diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2016, untuk membayar denda itu, selepas merayu untuk memanjangkan tempoh pembayaran di hadapan Mahkamah Majistret Kuala Belait, kerana dia pencari nafkah tunggal bagi keluarganya seramai empat orang.

Pada petang 7 Mei tahun lalu, Pegawai Pencegah Kastam telah menemukan sejumlah 14 karton selain 47 paket rokok semasa serbuan ke atas kediaman defendan.

Sepuluh karton rokok telah ditemui dalam bilik stor defendan, manakala empat karton lagi ditemui dalam beg hitam, sementara selebihnya ditemui disimpan di bawah dan atas almari di bilik tamu.

Defendan yang mengaku membeli rokok-rokok itu di Miri, mendakwa bahawa rokok-rokok pelbagai jenama itu adalah untuk kegunaan sendiri.

Majistret Kuala Belait berkata, walaupun menerima rayuan defendan untuk memanjangkan tempoh pembayaran, tetapi hukuman denda itu perlu bagi mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama.

Denda berkenaan adalah berdasarkan jumlah kolektif kira-kira sembilan duti eksais untuk barang tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA