Denda $5,600 miliki dadah

Denda $5,600 miliki dadah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Seorang lelaki tempatan didenda $5,600 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah pada 2010 dan 2011.

Majistret Kanan, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Kamarulzaman bin Kamarudin, 29, yang berdepan lima pertuduhan.

Mohamad Kamarulzaman didakwa memiliki dadah terkawal kelas A, Methy-lamphetamine seberat 2.7397 gram di sebuah rumah di Kampung Orang Kaya Besar Imas, Berakas dan mengambilnya pada 19 September 2011.

Dia turut didakwa memiliki Methylamphetamine seberat 0.122 gram dan mengambilnya di rumah yang sama pada 20 Februari 2010.

pg06_151229_mahkamah logo

Defendan juga berdepan kesalahan memiliki Methy-lamphetamine seberat 1.426 gram dalam keretanya di kawasan Perindustrian Ringan Anggerek Desa pada 8 Julai 2010.

Pegawai Pendakwa Narkotik, Ahmed Faez Anuar memberitahu mahkamah bahawa kes defendan lambat dihadapkan ke mahkamah atas beberapa sebab antaranya, defendan gagal untuk melaporkan diri dan mereka terpaksa mencari fail yang sebelum ini dikendalikan oleh pegawai penyiasat narkotik yang telah meninggal dunia.

Majistret Kanan memberi tempoh sehingga 28 Mac 2016 depan untuk defendan membayar denda, dan jika gagal membayar denda tersebut,tertuduh akan berdepan dengan hukuman 10 bulan penjara.

Defendan juga diarahkan untuk menjalani ujian air kencing hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA