Denda $7,000, miliki rokok tidak diisytiharkan

Denda $7,000, miliki rokok tidak diisytiharkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150713_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Mahkamah Majistret, kelmarin, menjatuhkan hukuman denda $7,000 ke atas seorang lelaki tempatan bagi kesalahan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan.

Abdul Hadi bin Nawi, 42, dari Jalan Maharajalela, Batu Satu didakwa memiliki 25 karton rokok ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 13 Januari 2015 kira-kira jam 2:30 petang.

Dalam sebutan, defendan merayu kepada mahkamah untuk meringankan hukuman dan meminta tempoh pembayaran jika dikenakan denda.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman memerintahkan defendan untuk membayar $300 setiap bulan bermula hujung bulan Ogos ini dan jika gagal, berdepan tujuh bulan penjara.

Fakta kes menyebut, defendan yang memandu kereta Toyota Prado bersama dua penumpang ketika itu memberitahu pegawai kastam bertugas bahawa dia tidak membawa apa-apa barang untuk diisytiharkan namun pemeriksaan menyeluruh menemui rokok-rokok itu disembunyikan dalam beg di tempat letak kaki sebelah kanan dan kiri penumpang belakang.

Defendan ketika disoal siasat memberitahu dia membeli kesemua rokok itu di Limbang pada harga $190 untuk kegunaan sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA