Denda $800 curi pakaian dalam

Denda $800 curi pakaian dalam

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Anggota tentera yang disabit bersalah mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di balkoni sebuah pangsapuri di Jalan Rimba Link telah dijatuhi denda $800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hafizul Hafiz@Abdul Mueez bin Zulkifli, 22, yang berdepan dua pertuduhan mencuri pakaian dalam wanita dalam dua kejadian berasingan.

“Apa yang dilakukan oleh kamu telah mencemar nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan mahkamah memutuskan untuk mengenakan denda sahaja sebagai pengajaran,” kata Majistret Kanan.

Defendan diberi tempoh sehingga 31 Disember 2015 untuk membayar denda atau berdepan empat minggu penjara jika gagal membayar denda itu.

Menurut fakta kes, pada 7 November sekitar jam 9 pagi, defendan berada di unit pangsapuri tunangnya yang terletak di tingkat dua di mana dia kemudian naik ke tingkat tiga, dan mencuri sepasang baju dalam berwarna biru yang dijemur di balkoni.

Defendan membawanya balik ke unit tunangnya dan menghidunya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Pemilik pakaian dalam berkenaan yang menyedari baju dalamnya telah hilang terus memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan membuat laporan polis.

Defendan sekali lagi melakukan kesalahan yang sama pada 26 November kira-kira jam 10:35 pagi apabila mencuri baju dalam daripada pemilik yang sama.

Defendan menggunakan kayu yang telah dipasang dengan dawai dan pergi ke balkoni pangsapuri di mana dia berjaya mencangkukkan baju dalam yang berwarna merah jambu dari penyangkut baju di tingkat atas.

Dia mengambil baju dalam itu dan menyimpannya di dalam kotak.

Keesokan harinya, suami kepada pemilik baju dalam itu memberitahu isterinya mengenai rakaman CCTV yang baru dilihatnya.

Mereka terus membuat laporan polis di mana defendan telah ditangkap.

ARTIKEL YANG SAMA