Denda miliki rokok tidak diisytiharkan

Denda miliki rokok tidak diisytiharkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151030_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Akibat tidak membayar duti eksais untuk rokok yang ingin dibawa masuk ke Brunei Darussalam, dua lelaki tempatan dijatuhi denda $7,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Haji Abdul Hamid bin Haji Bujang, 44, dan Haji Norarizal bin Haji Arsad, 39, berdepan pertuduhan memiliki 16 karton rokok ketika ditahan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada 27 Februari 2015 kira-kira jam 5:50 petang.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memerintahkan kedua-dua defendan yang terdahulu merayu supaya dapat membuat pembayaran secara ansuran, untuk membayar $350 setiap bulan, bermula hujung Oktober ini, dan jika gagal akan berdepan lima bulan penjara.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun dijatuhi denda $8,000 atas kesalahan memiliki 26 karton rokok yang tidak diisytiharkan pada tahun 2014.

Tertuduh didakwa memiliki rokok-rokok itu ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah sekitar jam 3:15 petang pada 8 Oktober 2014.

Defendan membayar denda $5,000 hari ini, dan Ketua Majistret memerintahkannya untuk membayar baki denda sebelum 29 Januari 2016 atau berdepan enam bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA