Dendam Bayern terbalas

MUNICH, 6 Dis – Jaringan dua gol dari Corentin Tolisso membantu Bayern Munich menewaskan Paris Saint-Germain sekali gus melengkapkan misi balas dendam Bayern dalam aksi perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan sudah menempah slot ke peringkat 16 terakhir, Bayern memerlukan empat gol untuk merampas takhta juara kumpulan yang masih dipegang oleh PSG.

Namun, biarpun tewas PSG tetap menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan B berdasarkan perbezaan gol dan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan. Bagaimanapun, Bayern mengembalikan semula maruah mereka apabila berjaya berkongsi 15 mata dengan PSG.

Bayern mendahului 2-0 sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan Robert Lewandowski dan Tolisso.

Kylian Mbappe mengurangkan tekanan pasukan pelawat apabila merapatkan jurang gol sebaik babak kedua bersambung sebelum Tolisso meledak gol ketiga buat Bayern.

Sementara itu, pemain tengah PSG Julian Draxler dan Adrien Rabiot berkata, Paris Saint-Germain perlu meningkatkan prestasi apabila beraksi pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas tewas 1-3 di tangan Bayern Munich, awal pagi tadi.

Walaupun PSG akan diletakkan dalam balang undian sebagai juara kumpulan, Rabiot berkata mereka perlu memperbaiki kelemahan selepas tewas buat kali kedua-dua berturut-turut termasuk ketika dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Strasbourg dalam saingan Ligue 1, minggu lalu.

“Memang benar masih banyak lagi kerja yang kami perlu lakukan, kami perlu bermain lebih baik dalam perlawanan seperti ini. Kami melakukan beberapa perkara yang betul tetapi masih banyak kami perlu perbaiki.

“Terlalu banyak kami bermain secara individu, dan ia tidak cukup untuk pasukan.

“Apabila kami bermain sebagai satu pasukan, kami lebih berbahaya dan mampu menjaringkan gol,” katanya.

Neymar dilihat tenggelam dalam perlawanan di Munich itu apabila gagal menjaringkan gol biarpun dia berjaya melakukannya dalam lima perlawanan kumpulan sebelum ini.

Bagaimanapun, jurulatih PSG, Unai Emery mempertahankan bintang Brazil berkenaan dan yakin dia akan kembali menemui sentuhan penyudahnya.

“Neymar? Saya tenang saja, saya tahu dia akan terus meningkat dalam pasukan ini. Dia mempunyai kualiti untuk melakukannya,” kata Emery.

Draxler pula mengakui persembahan PSG tidak sebaik ketika mereka menang 3-0 pada perlawanan awal di Paris.

“Pada separuh masa pertama, kami beraksi agak buruk dan kesempatan ini diambil Bayern,” kata pemenang Piala Dunia itu – AFP