Denmark berlatih dengan Misbun bukan satu isu

Denmark berlatih dengan Misbun bukan satu isu

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) – Pendedahan mengenai beberapa pemain Denmark pernah berguru dengan Datuk Misbun Sidek di Kelab Badminton Nusa Mahsuri tidak harus dijadikan isu di sebalik kekalahan skuad Piala Thomas Malaysia kepada negara itu, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata adalah keterlaluan untuk mengatakan kejayaan itu hasil latihan yang diterima pemain Denmark daripada Misbun kerana mereka hanya menghabiskan masa beberapa hari bersama bekas jurulatih negara itu.

“Ia bukan satu isu kerana mereka bukannya berlatih di situ, sebaliknya cuma meluangkan masa beberapa hari bersama Misbun di kelab itu sebelum menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan lepas.

“Saya fikir perkara ini hanya diperbesar-besarkan…mereka meluang masa beberapa hari dengan Misbun, itu tidak bermakna anda boleh mengatakan mereka berlatih di bawah beliau dan beliau adalah jurulatih mereka,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kementerian itu dengan Kumpulan DRB-Hicom di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa di sebalik kejayaan pasukan badminton Denmark menjulang Piala Thomas buat kali pertama, Ahad lepas, wujudnya ‘sentuhan’ Misbun yang menjadi ‘guru’ kepada beberapa pemain pasukan itu.

Antara pemain berkenaan termasuk wira yang menyumbang mata kemenangan Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dan Jan O Jorgensen.

Lebih memilukan, skuad Malaysia yang diketuai jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tumpas 2-3 di tangan Denmark di separuh akhir, sekaligus gagal mengulangi pencapaian tempat kedua di New Delhi, India, dua tahun lepas.