Depay lulus ujian perubatan

Depay lulus ujian perubatan

LONDON, 21 Mei – Penyerang Belanda, Memphis Depay sudah lulus ujian perubatan bersama Manchester United ketika dia semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Old Trafford, umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Dengan ujian kecergasan Depay sudah berjaya, United menyatakan mereka “berusaha memuktamadkan pendaftarannya apabila jendela perpindahan antarabangsa dibuka Jun ini.”

United mengumumkan awal bulan ini mereka bersetuju dengan yuran £25 juta (RM139 juta) bersama PSV Eindhoven untuk mendapatkan khidmat Depay, penjaring gol terbanyak liga Belanda musim ini dengan 22 gol.

Bagaimanapun, bekas kapten United, Gary Neville meminta peminat bersabar dan memberi peluang bintang baru mereka menyesuaikan diri di Old Trafford.

Neville percaya pemain berusia 21 tahun itu masih perlu banyak belajar jika mahu berkembang menjadi pemain bertaraf dunia.

Skarf yang memaparkan imej Mempis Depay mula dijual di Old Trafford selepas pemain itu lulus ujian perubatan awal minggu ini. – AFP
Skarf yang memaparkan imej Mempis Depay mula dijual di Old Trafford selepas pemain itu lulus ujian perubatan awal minggu ini. – AFP

“Memang biasa United mengikat seseorang yang berpotensi besar, tapi belum cukup matang untuk menjadi produk berkesan,” kata Neville.

“Depay seorang pemain yang menarik, tapi ada banyak rintangan yang perlu diatasi untuk mengenal pasti sama ada dia boleh menjadi pembelian terbaik.”

Pengurus United Louis van Gaal menganugerahkan Depay penampilan sulung antarabangsa pada Oktober 2013 dan membawanya ke Piala Dunia tahun berikutnya dan dia menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA