Depot AS, kilang besi ranap

Depot AS, kilang besi ranap

SAGAMIHARA, Jepun, 24 Ogos (AFP) – Satu letupan meledak di sebuah depot pos kawalan tentera AS hari ini dan mengakibatkan kebakaran, manakala di sebuah kilang besi, kebakaran turut tercetus dalam kemalangan berasingan di sekitar ibu negara Jepun.

Letupan di Depot Awam Tentera AS Sagami di bandar Sagamihara, kira-kira 40km ke barat laut Tokyo, mengakibatkan letusan api menjulang tinggi ke udara menyebabkan kebakaran yang berlaku semalaman, namun tiada laporan kecederaan.

Anggota bomba Jepun dan pangkalan tentera AS menangguhkan usaha memadamkan api sementara isi kandungan bangunan itu dinilai. Saksi mengatakan mereka pada awalnya bimbang sebutir bom sudah meletup di kemudahan tentera itu.

Kebakaran terpadam sendiri selepas enam jam, dengan anggota bomba berdiri mengawasinya. “Kami menyelaraskannya dengan unit bomba AS dan tidak menyemburkan air sementara menunggu maklumat berkaitan apa yang ada di dalamnya,” kata seorang pegawai di biro kebakaran Sagamihara memberitahu AFP, menambah bahawa lebih daripada sedozen kereta bomba dihantar ke tempat kejadian.

Selang beberapa jam kemudian, satu kebakaran besar tercetus di kilang paip besi berhampiran lapangan terbang antarabangsa Haneda.

Asap kelihatan berkepul di udara selepas kebakaran tercetus di Kilang Nippon Steel & Sumikin Pipe Co. di Kawasaki, selatan Tokyo, dalam gambar dari udara yang diambil oleh Kyodo hari ini. – AFP
Asap kelihatan berkepul di udara selepas kebakaran tercetus di Kilang Nippon Steel & Sumikin Pipe Co. di Kawasaki, selatan Tokyo, dalam gambar dari udara yang diambil oleh Kyodo hari ini. – AFP

Jabatan Bomba bandar Kawasaki mengatakan kebakaran di kilang, dimiliki unit pembuat besi gergasi Nippon Steel & Sumitomo Metal, mungkin berpunca daripada pekerja yang menggunakan pembakar gas untuk merobohkan kilang itu.

Kebakaran dipadamkan sejurus selepas jam 1:30 waktu tempatan. “Kilang itu sudah berhenti beroperasi dalam Jun dan tidak banyak pekerja dalam kemudahan itu pada waktu kebakaran,” seorang pegawai memberitahu AFP, menambah bahawa ia akan ditutup pada hujung tahun ini.

Awal sebelum itu, rakaman video dramatik menunjukkan letusan api besar—kemungkinan besar akibat kanister besi—memercik ke udara seperti bunga api akibat kebakaran besar di bumbung bangunan tentera, mencerahkan langit malam seketika.

Letupan di depot—yang terletak dalam kawasan seluas 200 hektar dan menempatkan hampir 600 pekerja—menggegarkan tingkap bangunan berhampiran.

“Saya ingat kemudahan tentera Amerika diserang pengganas,” kata seorang pengawal keselamatan tempatan memberitahu agensi berita Jiji Press.

Depot itu membekalkan dan bertindak sebagai pusat membaiki kenderaan tentera.

ARTIKEL YANG SAMA