Dera anak & isteri, lelaki tempatan dipenjara 6 bulan

Dera anak & isteri, lelaki tempatan dipenjara 6 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Mahkamah Majistret di sini, semalam, menolak permohonan seorang isteri yang ingin menarik balik dakwaan terhadap suaminya yang menghadapi enam pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abd Rahman memerintahkan Mahdzidi bin Haji Morsidi / Morshidi, 43, untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan mulai tarikh dia ditahan reman pada 2 Mac 2015.

“Perbuatan tertuduh yang telah mencederakan anak dan isterinya merupakan satu kesalahan yang serius.

“Tertuduh sebagai seorang suami dan ayah sepatutnya melindungi dan bukannya membahayakan keluarganya,” kata Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menerima surat daripada isteri tertuduh bertarikh 25 April 2015 yang membuat permohonan untuk menarik balik dakwaan ke atas tertuduh.

Tertuduh disabitkan kerana menyerang anak lelakinya yang berusia 20 tahun dengan memukul tubuh mangsa dengan playar, menampar muka mangsa beberapa kali dan menendang serta memukul menggunakan kaki dan tangannya.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan itu dengan mencederakan isterinya yang berusia 44 tahun dengan menampar muka mangsa beberapa kali, menekan jari kiri mangsa menggunakan playar dan menggosok playar tersebut pada dahi mangsa.

Insiden berlaku di rumah mereka di Jalan Kilugus, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lumapas pada 15 Februari 2015.