Dera: Dua suspek diberkas polis

Dera: Dua suspek diberkas polis

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Sebuah video mengenai penderaan seorang budak perempuan tempatan mengejutkan seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam dan menjadi kemarahan mereka apabila video berkenaan viral melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Video tiga minit itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun yang diikat kaki dan tangannya dan telah didera oleh seorang lelaki. Bunyi latar belakang juga kedengaran suara seorang perempuan.

Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah segera bertindak mengesan pelakunya dan berjaya menahan seorang wanita iaitu ibu mangsa yang dipercayai suara perempuan dalam rakaman video berkenaan.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun, yang merupakan suspek utama kes tersebut (wajahnya dilihat dalam rakaman video berkenaan).

Menurut jurucakap Pasukan Polis Diraja Brunei, kanak-kanak malang yang menjadi mangsa penderaan itu telah ditemukan dan dihantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Katanya, kes tersebut akan dihadapkan ke pihak Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara esok (26 Januari) untuk kedua suspek dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 28(1) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda Penggal 219 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $2,000, penjara tidak melebihi 10 tahun dengan atau tanpa sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut jurucakap itu lagi, Pasukan Polis Diraja Brunei amat mengambil serius mengenai kes-kes keganasan dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang di Negara Brunei Darussalam ini demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai adalah amat digalakkan untuk melaporkan apa jua maklumat yang diterima mengenai perkara seperti ini serta melaporkannya dengan segera kepada pihak Polis di talian kecemasan ‘993’ ataupun di mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar lagi video berkenaan kerana merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 95 Akta Kanak-kanak dan Orang Muda. Seksyen tersebut antara lain menyatakan mengenai perlindungan identiti kanak-kanak, untuk tidak menyiarkan atau menyebarkan mana-mana perkara yang boleh menyebabkan identiti kanak-kanak itu dikenal pasti.

Barang siapa yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi $5000, penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL YANG SAMA