Dera: Ibu dan teman lelaki didakwa

Dera: Ibu dan teman lelaki didakwa

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Seorang ibu dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mendera dan membiarkan seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Mohammad Shahiful Rizal bin Bakri, 28, didakwa mendera kanak-kanak berusia empat tahun itu sementara Nurihsan binti Supri, 28, pula berdepan dakwaan membiarkan anaknya didera di sebuah rumah di Jalan Tanjung Selasih, Kampung Mengkubau sekitar Disember 2015.

Tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh yang ketika itu berpakaian lokap berwarna oren selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka dalam Bahasa Melayu.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 28(1)(a) Akta Ramaja dan Kanak-kanak, Bab 219 yang memperuntukkan denda tidak melebihi $20,000, tempoh penjara tidak melebihi 10 tahun, dengan atau tanpa sebatan tidak melebihi 10 kali, atau kedua-duanya.

Mohammad Shahiful diberkas pada 25 Januari, jam 1:50 petang manakala itu, Nurihsan ditahan pada jam 2 pagi hari yang sama.

pg01_160127_mahkamah logo

Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati binti Omar memohon mahkamah supaya Mohammad Shahiful ditahan reman di Balai Polis Pusat dan Nurihsan di Balai Polis Berakas untuk siasatan.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman selama 10 hari dan menetapkan 6 Februari untuk sebutan semula.

Pendedahan kes dera kanak-kanak itu telah menjadi viral melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp, yang mana video selama tiga minit itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diikat kaki dan tangannya telah didera oleh seorang lelaki dengan berlatarbelakangkan suara seorang perempuan.

Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan lagi video berkenaan kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 95 Akta Remaja dan Kanak-kanak yang antara lain menyatakan mengenai perlindungan identiti kanak-kanak, untuk tidak menyebarkan atau menyebarkan mana-mana perkara yang boleh menyebabkan identiti kanak-kanak itu dikenal pasti.

ARTIKEL YANG SAMA