Dera: Ibu dan teman lelaki mengaku bersalah

Dera: Ibu dan teman lelaki mengaku bersalah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Seorang ibu dan teman lelakinya yang berdepan pertuduhan mendera dan membiarkan seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaan mereka berdepan kecederaan fizikal, kelihatan gagal menahan sebak hingga menangis teresak-esak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebaik diberi tempoh lima minit untuk berjumpa keluarga masing-masing.

Terdahulu, Mohammad Shahiful Rizal bin Bakri, 28, dan ibu mangsa, mengaku bersalah di hadapan Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid yang kemudian menetapkan 24 Februari untuk sebutan hukuman.

Mohammad Shahiful didakwa mendera kanak-kanak berusia empat tahun itu sementara Nurihsan berdepan dakwaan membiarkan anaknya didera.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 28(1)(a) Akta Remaja dan Kanak-kanak, Bab 219 yang memperuntukkan denda tidak melebihi $20,000, tempoh penjara tidak melebihi 10 tahun, dengan atau tanpa sebatan tidak melebihi 10 sebat, atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh dalam rayuan menyuarakan rasa sesal atas perbuatan mereka dan berjanji untuk tidak mengulanginya, dan turut memohon untuk dijatuhi hukuman yang paling ringan.

pg06_160210_mahkamah logo

Hakim memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong sementara menunggu sebutan hukuman.

Kertas pertuduhan menyebut, Mohammad Shahiful adalah warga tempatan dan tidak bekerja manakala Nurihsan yang merupakan seorang balu warga tempatan mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan terdahulu, termasuk mangsa.

Mohammad Shahiful ketika disoal-siasat mengaku bahawa lelaki dalam video itu adalah dirinya manakala rakaman video dibuat oleh Nurihsan.

Rakaman video itu dibuat sekitar Disember 2015 di sebuah bilik tidur di Jalan Tanjung Selasih, Kampung Mengkubau.

Tertuduh juga mengaku mempunyai hubungan dengan Nurihsan, dan mereka turut tidur bersama dengan mangsa di mana pada sekitar Disember 2015, mereka bersetuju untuk mengikat tangan dan kaki mangsa kerana berkelakuan nakal dan tidak mendengar kata apabila dimarahi.

Selepas mangsa diikat menggunakan tali kabel oleh Mohammad Shahiful, Nurihsan terus membuat rakaman video, dan tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan anaknya daripada diikat, sebaliknya memarahi mangsa dan ketawa semasa kejadian itu.

Mohammad Shahiful turut mengaku telah meletakkan mangsa di atas lantai, dan mula memarahinya walaupun mangsa ketika itu menangis berterusan untuk minta dilepaskan.

Mohammad Shahiful kemudian memukul mangsa di punggungnya dan mencubit pipinya.

Nurihsan ketika kejadian terus membuat rakaman video tanpa menghiraukan mangsa yang menangis untuk meminta bantuan daripadanya.

Mohammad Shahiful turut meletakkan mangsa di perantaraan katil dan almari pakaian di dalam bilik tidur, dan menuding jarinya pada gigi mangsa yang mana mangsa menggigit jari tertuduh sehingga berdarah.

Mohammad Shahiful terus memicit pipi mangsa dengan kuat supaya dia melepaskan gigitannya.

Selepas melepaskan mangsa daripada ikatan, kedua-dua tertuduh menenangkan mangsa sebelum mereka tidur.

Mohammad Shahiful dalam keterangannya mengaku telah mendera mangsa dan Nurihsan turut mengaku telah membiarkan mangsa didera sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Dalam rekod, kedua-dua tertuduh tidak mempunyai kesalahan terdahulu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati binti Omar.