Derita Adam berakhir

Derita Adam berakhir

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 10 Mei – Anak damit lelaki, Adam Darwis yang menderita penyakit Craniosynostosis sejak sekian lama, akhirnya menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini dalam dakapan ibunya.

Kedua ibu bapanya Awang Lani bin Karim dan Dayang Jainah binti Sarah, telah membawa Adam Darwis ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dari1 kediaman mereka di RPN Kampung Lumut kira-kira pukul 2 pagi tadi kemudian doktor hospital itu mengesahkan pemergiannya sekitar pukul 2:30 pagi.

Jenazah Adam Darwis disempurnakan di kawasan Tanah Perkuburan An-Naim Anduki pada pukul 8 pagi, dihadiri bersama oleh ahli keluarga serta saudara-mara.

Dayang Jainah dan suaminya Awang Lani dalam nada hiba berkata mereka berdoa semoga roh anak mereka itu dicucuri rahmat Allah dan merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang tampil menghulurkan sumbangan sehingga mereka mengumpulkan sejumlah $3,000 sejak berita Adam Darwis tersiar ke dalam media cetak dan media sosial baru-baru ini.

“Adam tidak begitu mahu disusukan sejak Isnin lalu, dan saya merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku, selain dia kelihatan pucat berbeza daripada biasa. Saya bersama dengannya sehingga tengah malam, kemudian kira-kira pukul 2 pagi, dia tidak bergerak,” kata Dayang Jainah, 42, tahun.

Adam Darwis berada di pangkuan ibunya.
Adam Darwis berada di pangkuan ibunya.

Allahyarham Adam, sejak lahir menderita penyakit Craniosynostosis, pihak Hospital RIPAS pernah menawarkan untuk dilakukan pembedahan ke atas anak damit itu selepas beberapa minggu pertama kelahirannya, tet2api kedua ibu bapanya menolak.

Setelah mencapai usia tiga bulan, ibu bapanya mengambil keputusan untuk anaknya dibedah, tetapi doktor mengatakan ia sudah terlambat, sebaliknya dia hanya dibekalkan dengan ubat-ubat penahan sakit sejak penghujung bulan Februari, untuk melegakan anak damit malang itu daripada merasa kesakitan dan boleh tidur, disebabkan peningkatan penekanan di dalam kepalanya.

“Dengan sumbangan yang diterima, kami bercadang untuk membawa Adam ke Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) awal pagi tadi, untuk mendapatkan pemeriksaan, tetapi ianya terlambat, Adam pergi meninggalkan kami buat selamanya” kata Dayang Jainah sambil teresak menangis.

ARTIKEL YANG SAMA