Derita Newcastle mungkin bertambah

Derita Newcastle mungkin bertambah

LONDON, 6 Dis – Bintang yang semakin menyinar milik Juergen Klopp akan bertembung dengan skuad Steve McClaren, ketika pasukan bimbingan pengendali dari Jerman yang sedang meningkat itu berdepan bekas pengurus England yang menerajui Newcastle United.

Empat kemenangan berturut-turut meletakkan Liverpool semakin hampir dengan empat pasukan teratas Liga Perdana dan separuh akhir Piala Liga manakala kekalahan teruk kepada Leicester City dan Crystal Palace meletakkan Newcastle semakin hampir ke zon penyingkiran.

Kelemahan Newcastle dan kehebatan serangan Liverpool boleh menghadirkan satu lagi masalah buat McClaren, dengan kedudukannya kini terancam selepas hanya dua kemenangan dalam 14 perlawanan liga.

Namun, selepas beberapa perlawanan dengan pasukannya melepaskan gol pertama, Klopp bimbang untuk memberikan harapan buat Newcastle, sambil memberi amaran kepada pemainnya: “Keyakinan ialah seperti bunga kecil.

“Jika anda memilikinya, tetapi seseorang menyepaknya dalam perlawanan, anda tidak melihat apa-apa. Tetapi jika anda tidak memilikinya, anda boleh mendapatkannya kembali dengan mudah jika pasukan lain memberikan peluang kepada anda untuk melakukannya. Itulah yang kita perlu bersedia menghadapinya.

“Saya tidak pernah bermasalah dengan terlebih yakin. Kami menjangkakannya juga (untuk menang). Sejujurnya, kami menjangkakannya sepanjang masa, tetapi ia tidak selalunya berlaku dan itulah masalahnya.”

Walaupun timbul pelbagai kebimbangan oleh Klopp, pasukannya kini beraksi baik dan McClaren pastinya sedar bahawa semua persembahan terbaik Liverpool hadir ketika mereka bermain di gelanggang lawan.

Mereka menang 3-1 di Chelsea, 4-1 di Manchester City dan 6-1 di Southampton, dalam saingan suku akhir Piala Liga awal pagi Khamis lalu.

Mereka hanya gagal dalam pertemuan pertama Klopp di Tottenham Hotspur, yang berakhir 0-0. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA