Derma darah bersama Baiduri

Derma darah bersama Baiduri

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Dengan hasrat untuk menanamkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan pegawai dan kakitangannya, Kumpulan Bank Baiduri akan mengadakan Kempen Menderma Darah Tahunan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 5 Ogos di Pusat Pembangunan dan Pembelajaran Bank Baiduri, Blok B, Tingkat 2, Kompleks Kiarong.

Kempen yang dikendalikan oleh Jabatan Sumber Manusia, Kumpulan Bank Baiduri itu merupakan projek amal tahunan bagi menanam semangat kebajikan di kalangan pegawai dan kakitangan bank serta untuk meningkatkan sumbangan simpanan darah di pusat berkenaan.

Kempen yang akan bermula dari jam 2 hingga 4 petang, bukan sahaja dibukakan bagi penyertaan daripada pegawai dan kakitangan bank tetapi orang ramai dan juga pelanggan-pelanggan bank berkenaan turut dialu-alukan untuk sama-sama menderma darah di majlis berkebajikan itu.

Pengurus Sumber Manusia, Bank Baiduri, Haji Sophian bin Dato Paduka Dr Haji Mat Suny mengalu-alukan semua orang untuk sama-sama hadir dan mengambil bahagian dalam kempen menderma darah berkenaan.

Kumpulan Bank Baiduri terus komited dalam membantu pembangunan masyarakat dan bank itu merupakan salah satu penaja utama bagi Acara Tahunan Hari Penderma Darah Sedunia.

Di samping itu, kumpulan berkenaan sering menghulurkan sokongan kewangan kepada program-program perkembangan kanak-kanak di Brunei termasuk Pusat Ehsan, Pusat Pembangunan Kanak-kanak (CDC), YASKA, SMARTER Brunei dan Learning Ladder Society.

ARTIKEL YANG SAMA