Derma darah sebagai aktiviti

Derma darah sebagai aktiviti

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Menyebut derma darah sahaja boleh menyebabkan mereka yang melakukan usaha murni itu tersenyum bangga manakala yang lain mungkin mencebik mulut kerana takutkan jarum besar, malah fobia itu boleh membunuh keinginan seseorang untuk membantu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan.

Berlainan pula dengan ahli bomba di Cawangan Penolong Pengarah Operasi, Haji Abdul Karim bin Haji Mohd Salleh yang menyertai kempen derma darah buat kali ke-105, hari ini, sejak tahun 1982.

Beliau mula menderma darah sejak di bangku sekolah lagi dan dari sana timbul minat untuk menjadikan kempen menderma darah sebagai salah satu aktiviti setelah mengetahui kebaikan selain membantu mereka yang memerlukan.

Ketika ditemui pada Kempen Menderma Darah sempena Hari Ulang Tahun ke-56, Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan di dewan serba guna jabatan berkenaan, beliau berkongsi tip untuk sentiasa kekal sihat sebelum dan selepas menderma darah, iaitu dengan sentiasa minum air dan mengawal pemakanan serta melakukan senaman.

Beliau juga menyarankan supaya orang ramai yang ingin menderma darah untuk tampil ke hadapan kerana ia bukan sahaja membantu menjaga kesihatan diri tetapi membantu mereka yang memerlukan darah.

Haji Abdul Karim mahu mengekalkan amalan menderma darah sebagai amalan berterusan.
Haji Abdul Karim mahu mengekalkan amalan menderma darah sebagai amalan berterusan.

Seorang lagi penderma yang ditemui, Haji Fadli bin Haji Damit dari Unit Bahagian Pencegah Kebakaran berkata, beliau mula menderma darah sejak tahun 90-an di mana penyertaan pertama beliau adalah setelah mula bertugas dan sejak itu beliau memahami faedah menderma darah.

Manakala itu, bagi Pegawai Balai, Hajah Siti Alam binti Haji Ali dari Pejabat Penolong Pengarah Operasi, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, kempen derma darah berkenaan adalah penyertaannya yang ke-14.

Menurut beliau, sejak tiga tahun yang lalu, beliau berhenti menderma darah buat sementara disebabkan masalah kesihatan dan hari ini beliau bersyukur kerana berpeluang membantu mereka yang memerlukan setelah doktor mengesahkan tahap kesihatan darah dalam badannya cukup untuk membuat pendermaan.

Beliau mula menderma darah setelah menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat pada tahun 1987 setelah mendapat dorongan dan sokongan daripada sesama anggota bomba selain mengetahui faedah menderma darah.

Selain membantu menangani ancaman dan mengurangkan risiko kanser serta meningkatkan tahap kesihatan kardiovaskular, menderma darah secara tetap juga boleh meningkatkan kecergasan di mana menderma satu pain darah atau 450ml akan membantu membakar 650 kalori dalam badan.

Dengan menderma darah, banyak nyawa akan diselamatkan dan penderma darah juga memberikan pesakit harapan kepada kehidupan.

ARTIKEL YANG SAMA