Derma darah sempena ulang tahun ke-56

Derma darah sempena ulang tahun ke-56

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Mei – Tugas dan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat bukan hanya setakat memadam kebakaran bahkan lebih menjurus kepada kerja-kerja menyelamat nyawa semasa kecemasan.

Selain itu, kerja-kerja menyelamat yang dimaksudkan juga tidak terhad semasa beroperasi sahaja, tetapi juga memberikan bantuan di luar kerja-kerja operasi kecemasan seperti keperluan orang ramai untuk mendapatkan pendermaan darah. Sehubungan itu, bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-56 Tahun, kempen-kempen menderma darah telah giat dilaksanakan dan cawangan Operasi B Daerah Belait telah mengadakannya di ruang legar Pusat Membeli-belah KBSentral di sini, hari ini.

Kempen tersebut telah berjaya mengumpulkan sejumlah 54 pain darah daripada seramai 74 orang penderma yang terdiri daripada orang awam, kakitangan kerajaan dan pihak swasta serta kalangan anggota Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi B.

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat, cawangan Operasi B, Penguasa Kanan Awang Muhd Shahreeni bin Haji Mohd Yusoff.

Antara yang menyertai Kempen Derma Darah Jabatan Bomba dan Penyelamat bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-56 Tahun.
Antara yang menyertai Kempen Derma Darah Jabatan Bomba dan Penyelamat bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-56 Tahun.
Pemangku Timbalan Pemerintah, Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaini bin Wan Ibrahim, menyampaikan sijil kepada Pengiran Musa Ariffin bin Pengiran Haji Mustapa yang merupakan penyumbang darah aktif sebanyak 43 kali sejak tahun 1987.

Awang Muhd Shahreeni menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma darah, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhammad Ali.
Awang Muhd Shahreeni menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma darah, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhammad Ali.

Kempen tersebut antara lain juga bertujuan membantu Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk mengutip darah yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan, termasuklah mereka yang terlibat dalam kemalangan, sakit kronik, anak damit yang belum cukup bulan kelahiran dan sebagainya.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk mencapai keberkesanan yang positif ke arah kesedaran khususnya anggota bomba dan kakitangan kerajaan serta orang ramai, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab serta benar-benar memahami akan keperluan semasa dan juga iklim negara kerana ibarat pepatah ‘sejumlah darah yang didermakan boleh menyelamatkan nyawa’.

Kempen telah dikendalikan dengan kerjasama oleh Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital RIPAS, Pusat Membeli-belah KBSentral dan Syarikat Perniagaan Malar Setia, Ayam Brand yang telah menyumbangkan sejumlah 200 roti sandwic Ayam Brand, dan 200 kotak minuman jus kotak kepada setiap penderma dan yang menyertai kempen berkenaan.

Setiap penderma darah dalam kempen tersebut juga telah diberikan cenderahati penghargaan berbentuk sijil penyertaan.

ARTIKEL YANG SAMA