Desak menteri pendidikan letak jawatan

Desak menteri pendidikan letak jawatan

TAIPEI, 3 Ogos (AFP) – Hampir seribu orang berhimpun di luar Kementerian Pendidikan Taiwan semalam, menuntut peletakan jawatan menteri dan membatalkan apa yang mereka disifatkan sebagai kurikulum sekolah tinggi “yang menumpu China.”

Para pembantah, yang dianggarkan oleh pihak polis seramai kira-kira 800 orang, mengoyakkan versi baru buku teks yang dicetak di bawah garis pandu kurikulum baru.

Orang ramai, kebanyakannya orang dewasa melaungkan slogan seperti “Menyokong para pelajar”, “Melindungi demokrasi” dan “Menteri Wu Se-hwa letak jawatan”.

Kehadiran itu adalah yang terbesar sejak 24 Julai apabila 30 orang pembantah, kebanyakan mereka pelajar, memecah masuk ke kementerian untuk membantah perubahan tersebut.

Mereka telah diberkas dan kemudian dibebaskan tetapi sebilangannya berdepan dengan dakwaan.

Para aktivis berarak sambil membawa pelekat ketika berdemonstrasi di luar Kementerian Pendidikan di Taipei, pada 3 Ogos 2015. – AFP
Para aktivis berarak sambil membawa pelekat ketika berdemonstrasi di luar Kementerian Pendidikan di Taipei, pada 3 Ogos 2015. – AFP

Aktivis muda Lin Kuan-hua, salah seorang daripada mereka yang terlibat memecah masuk ke dalam kementerian itu telah membunuh diri di rumahnya Khamis lalu.

Pembantah-pembantah semalam memberi penghargaan kepada Lin, dengan menghiasi pagar besi di luar kementerian itu dengan beratus-ratus bunga, separuhnya bunga ros putih.

“Bunga-bunga tersebut adalah bagi memperingati Lin,” kata Chuo Li-chen, seorang suri rumah berusia 57 tahun dari bandar utara Taoyuan.

“Saya mahu Lin mengetahui dia tidak mati sia-sia. Saya percaya kematiannya telah menyedarkan lebih ramai yang telah dibasuh otak mereka oleh kerajaan Kuomintang selama berdekad-dekad lamanya.”

Taiwan yang di bawah pemerintahan sendiri, berpisah dari tanah besar pada tahun 1949 selepas perang saudara. Tetapi Beijing masih menganggap pulau itu sebahagian wilayahnya dan tidak menolak kekerasan untuk mencapai penyatuan semula pada beberapa peringkat.

Kebimbangan awam semakin meningkat, terutamanya di kalangan anak-anak muda, pada pengaruh China yang dilihat semakin bertambah di pulau itu di tengah pemulihan hubungan baik dengan Beijing, yang dijalin oleh Presiden masa ini, Ma Ying-jeou dari parti Kuomintang (KMT).

ARTIKEL YANG SAMA