Desakan lancar siasatan dera penghijrah meningkat

Desakan lancar siasatan dera penghijrah meningkat

SYDNEY, 15 Ogos – Australia pada hari ini menghadapi permintaan meningkat untuk melancarkan siasatan dalam layanannya ke atas pencari perlindungan di pulau terpencil Pasifik selepas dakwaan penganiayaan timbul ke atas pelarian.

Gambar yang disiarkan dalam media Australia pada hujung minggu menunjukkan dua lelaki Afghan yang berdarah selepas mereka didakwa diserang dengan batang besi oleh penduduk tempatan di Pulau Manus Papua New Guinea.

Gambar grafik itu menyusuli kebocoran laporan 2,000 kejadian pada minggu lalu yang difail oleh pekerja di pulau kedua di mana Australia menghantar pencari perlindungan yang tiba dengan bot, Nauru, membutirkan penganiayaan yang dialami oleh pencari perlindungan.

“Kami melihat semakin banyak laporan yang membimbangkan dari Nauru,” kata pemimpin pembangkang Pekerja Bill Shorten hari ini.

“Hanya disebabkan orang berada dalam tahanan tidak bermakna mereka perlu dilayan dengan teruk dan ia tidak bermakna mereka harus ditahan untuk tempoh masa yang tidak dipastikan,” beritahunya kepada wartawan di Brisbane.

“Itulah sebabnya Pekerja sedang memimpin kempen untuk melancarkan siasatan Senat.”

Shorten berkata beliau masih menyokong pemprosesan pencari perlindungan luar pesisir di Nauru dan di PNG untuk menasihati orang lain supaya jangan mengadakan perjalanan mengembara berbahaya ke Australia, tetapi pela-rian tidak harus dibiarkan tinggal di kem Pasifik untuk tempoh waktu yang tidak pasti.

Dokumen yang terbocor itu, yang mendakwa pencari perlindungan di Nauru, termasuk kanak-kanak, mengalami keganasan, serangan seksual dan layanan mengaibkan, telah mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengulang gesaan meminta pemprosesan luar pesisir ditamatkan.

“Dakwaan yang terkandung dalam dokumen mesti disiasat secara sistematik dan mereka yang bertanggungjawab perlu dihukum,” kata Ravina Shamdasani, jurucakap untuk Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia di Geneva. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA