Deschamps fokus Euro 2016

Deschamps fokus Euro 2016

PARIS, 29 Mac (AFP) – Didier Deschamps mengakui serangan November lalu berada dalam fikiran semua orang sehari sebelum kepulangan pasukannya ke Stade de France, tetapi mereka bertekad untuk meneruskan dengan tugas bersiap sedia untuk kejohanan Euro 2016.

“Anda tidak melupakannya, tetapi anda perlu maju ke depan,” kata Deschamps tatkala pasukan tuan rumah Euro 2016 bermain dalam satu perlawanan persahabatan menentang Rusia di Paris hari ini.

Perlawanan menentang Rusia adalah perlawanan bola sepak antarabangsa pertama sejak perlawanan Perancis menentang Jerman pada 13 November tahun lalu.

Pada malam itu 130 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan di seluruh ibu negara Perancis dengan pengebom berani mati meletupkan bahan letupan di luar Stade de France, membunuh satu orang dan mencedera berpuluh yang lain.

Kapten Perancis Hugo Lloris berkata: “Secara terus-terang, pemain tidak bercakap mengenainya sesama mereka sendiri. Namun selepas trauma seperti ini, mesti ada satu hari selepas itu. Adalah penting untuk pulang ke Stade de France dan mencari titik rujukan dan keyakinan kami.”

Keselamatan di Stade de France juga ketat selepas serangan Brussels pada minggu lalu yang membunuh 35 orang.

“Kami perlu yakin dengan pegawai keselamatan,” kata penjaga gol Tottenham Lloris. “Kami perlu terus hidup dan menghidupkan semangat kami bersama, ia adalah penting.”

Stade de France telah lama dikaitkan dengan kemenangan Piala Dunia 1998 Perancis apabila Deschamps mengetuai pasukan Les Bleus, dan dia tidak mahu stadium itu kini dikaitkan dengan serangan pada November lalu.

“Ia adalah stadium kami tetapi saya tidak akan melupakannya, sama seperti semua orang tidak akan melupakannya. Sebelumnya ia adalah kenangan kegembiraan, sekarang kami perlu berharap apa yang berlaku tidak akan berlaku sekali lagi.”