Deschamps nafi Ribery sarung semula jersi Perancis

Deschamps nafi Ribery sarung semula jersi Perancis

BERLIN, 22 Mac – Jurulatih Perancis Didier Deschamps menafikan spekulasi mengenai Franck Ribery akan kembali daripada persaraan untuk mewakili negara itu pada saingan Euro 2016.

Minggu lalu, Ribery yang berundur daripada mewakili Perancis pada 2014, dikatakan berkemungkinan akan kembali menyertai pasukan kebangsaan selepas kembali cergas daripada kecederaan yang dihadapinya dalam beberapa musim di Bayern Munich.

Bagaimanapun, Deschamps berkata, tiada perancangan lagi untuk memanggil semula pemain berumur 32 tahun itu menjelang kejohanan pada musim panas ini.

“Bagi saya, persoalan tentang Ribery bukanlah dalam agenda, kami tidak perlu terlalu memikirkannya,” katanya dalam satu temubual bersama majalah Jerman, Kicker yang diterbitkan hari ini.

“Saya gembira yang Franck tersenyum semula dan bergembira dapat bermain semula. Tetapi dia hanya bermain dalam dua atau tiga perlawanan di mana dia bermain lebih daripada 80 minit dan lebih sedikit menentang Juventus.”

Franck Ribery ketika menyarung jersi Perancis. Deschamps menafikan spekulasi Ribery akan kembali untuk mewakili Les Blues pada Euro 2016. – Reuters
Franck Ribery ketika menyarung jersi Perancis. Deschamps menafikan spekulasi Ribery akan kembali untuk mewakili Les Blues pada Euro 2016. – Reuters

“Komen dia menggembirakan beberapa orang di Perancis. Untuk saya, ia memberikan sedikit senyuman kepada saya. Dia berkata: ‘Kami perlu lihat’,” kata Deschamps.

Ribery mengakhiri karier antarabangsanya sejurus selepas mengalami kecederaan belakang yang memaksanya terlepas daripada Piala Dunia 2014 di Brazil, tetapi pemain sayap itu menimbulkan tanda tanya untuk kembali semula apabila tidak menafikan perkara itu pada minggu lalu.

“Saya bermain semula bersama Bayern dan saya kembali 100 peratus. Tetapi sebelum kami boleh berfikir untuk kembali ke pasukan Perancis, ia mestilah ada perbincangan bersama Didier Deschamps. Itu bakal menjadi perkara pertama,” kata Ribery. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA