Destinasi baru tarikan pelancongan Indonesia

Destinasi baru tarikan pelancongan Indonesia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Sebagai usaha mengemas kini maklumat mengenai pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong Brunei ke Indonesia, Kementerian Pelancongan Indonesia telah mengadakan perbincangan yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

Bagi perbincangan itu, kementerian tersebut telah membawa 12 pengusaha peniaga pelancongan Indonesia sebagai penjual dan menjemput 30 pengusaha pelancongan sebagai pembeli bagi meningkatkan lagi kerjasama perniagaan dalam mempromosi destinasi-destinasi pelancongan di Indonesia bagi pasaran Brunei Darussalam.

Pengurus Negara Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Sulaiman Shehdek berkata, pengusaha-pengusaha pelancongan Brunei dijangka meneroka kerjasama yang berpotensi bersama pengusaha-pengusaha Indonesia.

“Hasilnya, mereka boleh menghasilkan dan menjual pakej pelancongan Indonesia bagi pasaran Brunei,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Wonderful Indonesia, Erwita Dianti pula berkata, pada tahun ini Indonesia telah menetapkan sasaran kedatangan pelancong luar sebanyak 12 juta.

Nurul Qomar ketika berucap pada majlis itu.
Nurul Qomar ketika berucap pada majlis itu.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, beliau berkata, pelbagai usaha telah dibuat termasuk mempromosi percutian pantai di Bali, Lombok, Labuan Bajo, Wakatobi dan banyak lagi.

Selain itu, mempromosikan kepelbagaian budaya dan warisan termasuk lokasi Warisan Dunia UNESCO Kuil Borobudur dan Kuil Prambanan di Jawa dan tempat menarik Raja Ampat.

Menyentuh mengenai kedatangan pelancong antarabangsa ke negara berkenaan, beliau berkata, ia masih kukuh, yang mana menurutnya, laporan Biro Statistik Indonesia menunjukkan bahawa rekod jumlah purata pelancong-pelancong asing bagi bulan Januari sehingga bulan Jun 2016 adalah seramai 5,239,583 atau peningkatan 27.01 peratus daripada jumlah yang direkodkan pada bulan Januari sehingga Jun 2015.

“Ketika ini, penerbangan dari Brunei ke Indonesia sebanyak tiga kali dalam seminggu iaitu penerbangan ke Jakarta, Surabaya dan Bali, dengan mata wang Brunei yang kukuh, ia sangat sesuai bagi pelancong Brunei untuk berbelanja dan bercuti ke tempat-tempat menarik,” ujarnya mengenai pelancong dari Brunei.

“Kami berharap akan menambah destinasi pada masa hadapan, kami juga berharap lebih ramai pelancong Brunei akan membuat lawatan dan menikmati pelancongan indah di Indonesia,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Promosi Pelancongan Jawa Barat, Herman Rukmanadi semasa ditemu bual pula mengulas, selain daripada tiga destinasi tersebut, Bandung juga sebagai destinasi tumpuan menarik bagi pelancong Brunei memandangkan kebanyakannya beragama Islam, memudahkan pelancong Brunei untuk mencari makanan halal dan barangan pada harga yang murah.

Manakala itu, Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Nurul Qomar pula menyatakan bahawa, Indonesia membangunkan industri pelancongan dengan kekayaan dan alam semula jadinya, membangunkan tempat-tempat destinasi dengan suasana unik.

Untuk meningkatkan lagi industri tersebut, tambahnya, Indonesia telah membukakan akses kepada berjuta-juta orang untuk terbang di seluruh negara yang tidak pernah dibuat sebelumnya.

“Selain perhubungan, promosi adalah penting dalam memperkenalkan destinasi-destinasi baru, kemudahan baru, trend baru, persekitaran baru di negara itu kepada pelancong negara lain.

“Majlis hari ini dan Pesta Pelancongan Brunei yang bermula esok adalah tepat dalam usaha mempromosi Indonesia kepada rakyat Brunei,” katanya lagi.

Antara yang dijemput dalam perbincangan berkenaan ialah pengendali pelancongan dan pengusaha hotel dari pelbagai wilayah termasuk dari Aceh, Jawa Barat, Jakarta, Bali dan kepulauan Riau bagi membantu pembeli Brunei mendapat pemahaman lebih mendalam mengenai kepelbagaian destinasi di Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA