Destinasi Tutong pikat pelancong

Destinasi Tutong pikat pelancong

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 26 Julai – Destinasi Tutong akan menjadi platform bagi mengangkat produk-produk kampung dan kegiatan-kegiatan masyarakat di Daerah Tutong, serta mempromosikan industri produk tempatan daerah berkenaan, sekali gus mengembangkan lagi industri pelancongan di daerah tersebut.

“Dengan adanya platform Destinasi Tutong itu, produk-produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan di bawah inisiatif Satu Kampung, Satu Produk (1K1P) akan digabungkan di bawah satu inisiatif,” kata Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Menurutnya, sebelum ini program 1K1P bergerak secara bersendirian tetapi kini di bawah platform itu, ia diangkat menjadi satu pakej atau program lawatan yang teratur.

Katanya, dengan program yang lebih teratur, Majlis Perundingan Mukim (MKM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) serta juga penyedia perkhidmatan pelancongan setempat dapat memanfaatkan program itu melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan melalui pakej-pakej yang disusun dengan memasukkan lawatan ke tempat menarik, kegiatan kampung, kegiatan inap desa, pertunjukan kebudayaan dan pengenalan kepada makanan dan minuman setempat.

Pada masa ini terdapat kira-kira 27 pakej di bawah program lawatan berkenaan, jelas Awang Wardi lagi semasa temu bual bersama Media Permata mengenai perkembangan terbaru usaha mengembangkan sektor pelancongan Daerah Tutong. Beliau ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Daerah Tutong yang diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, hari ini.

Awang Wardi bergambar dengan pameran 3D yang merupakan salah satu tarikan bagi pelancong yang berkunjung.
Awang Wardi bergambar dengan pameran 3D yang merupakan salah satu tarikan bagi pelancong yang berkunjung.

Di antara pakej pelancongan yang dikenal pasti, adalah lawatan ke pekan Tutong (city tour) selama tiga jam, lawatan ke kampung (kampung tour) selama enam jam iaitu dari pagi hingga petang, lawatan ke kampung selama 10 jam iaitu dari pagi, petang dan malam yang merangkumi persembahan tarian tradisional dan lawatan ke tempat-tempat menarik serta inap desa (homestay) iaitu untuk memberikan peluang bagi pelawat untuk bermalam di Daerah Tutong.

Katanya, program-program lawatan itu, diisikan dengan pelbagai elemen menarik seperti pendidikan, sejarah, kebudayaan dan khazanah unik masyarakat Tutong.

Menurut Awang Wardi, bagi merealisasikan harapan untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai destinasi pilihan, ekosistem pelancongan setempat yang baik harus wujud dan bagi mencapai hasrat itu memerlukan kerjasama yang erat di antara pihak kerajaan termasuk rakan-rakan strategik dan operator pelancongan setempat serta juga majlis-majlis perundingan mukim dan kampung melalui kerjasama awam-swasta (public-private partnership).

Beliau yakin bahawa menerusi kerjasama erat pelbagai pihak itu dan juga kedudukan unik Daerah Tutong, usaha untuk menjadikan daerah berkenaan sebagai destinasi pilihan akan dapat dijayakan dan pada masa yang sama mampu memberikan pulangan bermanfaat kepada seluruh penduduk dan masyarakat daerah berkenaan.

“Dengan adanya Destinasi Tutong ini, sudah setentunya kita mampu untuk menghasilkan peluang-peluang perniagaan, peluang-peluang pekerjaan seperti jurupandu pelancong dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diketengahkan dan sudah setentunya menambah pendapatan bagi masyarakat setempat.”

ARTIKEL YANG SAMA