Dewan baru Tarindak D’Seni lebih luas

Dewan baru Tarindak D’Seni lebih luas

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Restoran Tarindak D’Seni yang terletak di Pusat Kesenian dan Kraftangan di ibu negara, sekali lagi menampilkan Promosi Bufet Sungkai, namun tahun ini ia disajikan dalam suasana lebih selesa di dewan baru.

Dewan baru berkenaan memang luas sesuai bagi keluarga yang ingin berbuka puasa beramai-ramai, yang mana ia mampu menampung 300 hingga 380 orang.

Pengurus Restoran Tarindak D’Seni, Awang Shariman bin Haji Abdul Kadir, ketika ditemui menyatakan beliau sendiri terasa teruja ketika buat pertama kali masuk ke dalam dewan baru itu.

Sebelum ini, menurut beliau, Tarindak D’Seni terpaksa memanfaatkan ruang yang terhad bagi memenuhi permintaan pelanggan, dan kini mereka mampu memberi layanan lebih baik dengan ruang yang lebih besar dan selesa untuk ahli keluarga dan pelanggan bergerak dengan selesa.

Beliau menambah, satu lagi dewan yang lebih besar akan diperkenalkan sedikit masa lagi, yang boleh menampung 800 sehingga 1,000 orang pelanggan dalam satu majlis.

Promosi Bufet Sungkai Terindak D’Seni disajikan di dewan baru yang lebih besar dan pemandangan Kampong Ayer yang menarik.
Promosi Bufet Sungkai Terindak D’Seni disajikan di dewan baru yang lebih besar dan pemandangan Kampong Ayer yang menarik.

Mengulas mengenai keterampilan utama dewan baru itu, Awang Shariman berkata, berbanding restoran lama, pemandangan Kampong Ayer dari dalam dewan berkenaan adalah lebih jelas dan menarik.

“Ia menjadi identiti Tarindak D’Seni iaitu untuk menampilkan seni budaya, keindahan dan keharmonian Brunei Darussalam melalui makanan, produk dan panorama serta pengalaman menjamu selera di sini” tegasnya.

Ditanya mengenai respons pengunjung sejak hari pertama Ramadan yang lalu, beliau berkata seperti yang diharapkan perkataan “wow, Masya-Allah, Cantiknya” menjadi respons pertama daripada pelanggan.

Antara hidangan yang disajikan dalam promosi Bufet Sungkai di Tarindak D’Seni.
Antara hidangan yang disajikan dalam promosi Bufet Sungkai di Tarindak D’Seni.

pg09_150622_d

“Pada saya itu adalah respons yang sangat positif dan kami di Tarindak D’Seni akan terus berusaha memastikan setiap pelanggan kami pulang bersama pengalaman dan kenangan yang manis berbuka puasa di sini,” ujar beliau.

Dari segi makanan pula, Tarindak D’Seni menampilkan makanan kemelayuan termasuk ulam-ulaman, kuih-muih Melayu seperti Putu Piring, Kusui, seri muka dan kuih pelita.

Beliau turut mencadangkan pelanggan untuk mencuba sendiri hidangan udang masak sambal petai, Bubur Lambuk, masakan daging, ayam, makanan laut dan sayur yang sentiasa diubah mengikut kitaran makanannya.

Selain itu, bufet kali ini turut menyajikan sate, martabak, roti kosong, Stesen Mi, makanan panggang dan juga ambuyat yang menjadi kemestian di Tarindak D’Seni.

ARTIKEL YANG SAMA