Dewan Perniagaan Bangladesh hulur sumbangan

Dewan Perniagaan Bangladesh hulur sumbangan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Dewan Perniagaan Bangladesh telah mengadakan menyampaikan derma untuk Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim pada majlis yang berlangsung di Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, The Mall, Gadong, hari ini.

Sumbangan berjumlah $2,000 itu dikutip daripada 80 orang pegawai dan kakitangan yang bekerja di dewan perniagaan berkenaan.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Muhammed Abdul Hye hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan Bangladesh, Mohammad Liakat Ali.

Sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif dan para pegawai dan kakitangan Dewan Perniagaan Bangladesh, sejurus selepas penyampaian derma.
Sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif dan para pegawai dan kakitangan Dewan Perniagaan Bangladesh, sejurus selepas penyampaian derma.

Muhammed Abdul Hye dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa majlis penyampaian derma ini merupakan acara istimewa kerana ia adalah pertama kali Dewan Perniagaan Bangladesh mengutip derma untuk diserahkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim.

Selain itu, beliau juga menekankan mengenai hasrat mereka selaku warga Bangladesh untuk mengongsikan dan menyumbang kepada sektor masyarakat, selain menyumbang kepada perkembangan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diteruskan dengan penyampaian derma serta sesi bergambar ramai, sebelum para jemputan menikmati jemuan yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA