Dewan Rakyat bakal laksanakan MQT Okt ini

Dewan Rakyat bakal laksanakan MQT Okt ini

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Dewan Rakyat akan melaksanakan sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT) bermula pada persidangan Oktober ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata sesi selama 30 minit itu akan diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelumnya bermulanya sesi pertanyaan jawab lisan.

“Dari segi pelaksanaan di dewan persidangan, MQT akan bermula jam 10 pagi hingga 10.30 pagi bagi membolehkan soalan isu serius dan mutakhir dijawab oleh menteri berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat dan Simulasi MQT, di sini hari ini.

Pandikar Amin berkata masa yang diperuntukkan kepada anggota Parlimen untuk mengemukakan pertanyaan dihadkan kepada satu minit dan menteri akan menjawab dalam masa tiga minit.

“Ini akan disusuli dengan pertanyaan tambahan yang pertama yang ditetapkan dalam tempoh 30 saat dan seterusnya menteri atau timbalan menteri akan menjawab dalam tempoh masa dua minit 30 saat. Begitu juga bagi soalan tambahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berucap pada sesi taklimat dan simulasi mengenai Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri kepada Ahli Dewan Rakyat di Dewan Rakyat kelmarin. – Bernama
Tan Sri Pandikar Amin Mulia berucap pada sesi taklimat dan simulasi mengenai Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri kepada Ahli Dewan Rakyat di Dewan Rakyat kelmarin. – Bernama

Amin berkata soalan boleh dikemukakan di pejabatnya selewat-lewatnya pada 10 pagi sehari sebelum sesi dijalankan.

“Jika sesi pada Selasa soalannya mesti sampai pada Isnin jam 10 pagi. Jadi kementerian berkaitan akan berbincang bagi menjawab soalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata sesi baharu yang dilaksanakan ini adalah sebahagian pelan transformasi Parlimen fasa pertama selain sesi Kamar Khas yang telah dilaksanakan bermula persidangan lepas.

MQT diluluskan sebulat suara oleh Penyata Jawatankuasa Peraturan Mesyuara Dewan Rakyat pada 7 April lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata anggota Parlimen perlu menggunakan platform MQT sebaik mungkin untuk bertanyakan soalan yang memberi kebaikan kepada rakyat dan kerajaan.

“Saya percaya dengan kewibawaan speaker Dewan Rakyat, sesi ini mampu berlangsung dengan baik dan memberi manfaat kepada semua sepertimana objektif asalnya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA