Dewan Undangan Sarawak bersidang mulai 7 Jun

Dewan Undangan Sarawak bersidang mulai 7 Jun

KUCHING, 6 Jun – Dewan Undangan Negeri Sarawak akan bersidang selama tujuh hari antara Selasa ini hingga 15 Jun, demikian menurut Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. Beliau berkata 336 soalan telah diterima daripada 44 anggota dewan, dan satu-satunya Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2015) 2016 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Dr Wong Soon Koh.

Bercakap kepada pemberita selepas pra mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini petang Ahad, beliau berkata tiga usul persendirian di bawah peraturan tetap 23, diterima.

“Pertama, ialah usul untuk menegaskan azam kita bagi mempertahankan integriti wilayah Sarawak; dan kedua mendapatkan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan dan mengatasi banjir kilat di bandar raya Kuching, kedua-duanya dibawa oleh ADUN Batu Lintang (PKR-See Chee How),” kata Mohamad Asfia.

Beliau berkata, yang ketiga ialah mengenai usul agar kerajaan negeri tanpa bertangguh meneruskan tuntutan dan rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung soal penurunan kuasa, oleh ADUN Kota Sentosa (DAP-Chong Chieng Jen).

Mohamad Asfia berkata ini julung kali DUN Sarawak bersidang dalam bulan Ramadan. – Bernama