Dhaka gesa Myanmar ‘segera’ lindungi minoriti Rohingya

Dhaka gesa Myanmar ‘segera’ lindungi minoriti Rohingya

TEKNAF, Bangladesh, 24 Nov – Dhaka telah menggesa Myanmar supaya mengambil ‘langkah segera’ untuk melindungi penduduk manoriti Rohingya negara itu selepas ribuan daripada mereka menyeberangi sempadan ke Bangladesh dalam hanya beberapa hari, sesetengahnya berkata pihak tentera telah membakar kampung-kampung serta merogol gadis-gadis.

Askar-askar telah dikerah ke jaluran tanah sepanjang sempadan Myanmar dengan Bangladesh yang sebahagian besarnya menempatkan kumpulan minoriti Islam Rohingya yang tidak bernegara sejak siri serangan maut yang terancang ke atas pos-pos polis sempadan bulan lalu.

Sehingga 30,000 penduduk Rohingya telah dipaksa meninggalkan rumah mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Bangladesh supaya membuka sempadannya kepada mereka.

Anggota Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) menahan seorang suspek warga Myanmar (tengah) yang disyaki menjadi pengintip bagi Myanmar di sebuah kem pelarian di Teknaf, Bangladesh. – AFP
Anggota Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) menahan seorang suspek warga Myanmar (tengah) yang disyaki menjadi pengintip bagi Myanmar di sebuah kem pelarian di Teknaf, Bangladesh. – AFP

Bangladesh berkata, ribuan orang telah memasuki Negara itu dan beribu-ribu lagi dilaporkan sedang berkumpul di sempadan. Ia berkata, Kementerian Luarnya telah memanggil duta Myanmar lewat kelmarin untuk menyatakan “kebimbangan yang amat sangat” terhadap keadaan kemanusiaan di timur negeri Rakhine.

“Walaupun pengawal-pengawal sempadan kami berusaha gigih untuk mencegah kemasukan besar-besaran, ribuan rakyat Myanmar yang terdesak termasuk wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua terus menyeberangi sempadan ke Bangladesh,” ia berkata. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA