Di Maria lebih hebat jika bersama PSG

Di Maria lebih hebat jika bersama PSG

PARIS, 2 Jun (Reuters) – Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini secara terbuka berkata, bintang Argentina, Angel di Maria akan menjadi pemain yang hebat sekiranya beraksi bersama gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Di Maria, 27, gagal menyerlah sejak menyertai United dari Real Madrid menerusi yuran perpindahan bernilai 60 juta pound (RM336 juta).

Dalam satu wawancara bersama televisyen Perancis, Fellaini mencadangkan rakan sepasukannya itu agar menyertai PSG, yang baru melakar sejarah menyapu bersih empat kejuaraan dalam liga Perancis musim ini.

“Angel Di Maria merupakan pemain yang bagus untuk PSG. Dia merupakan pemain kelas dunia.

“Dia sangat berjaya di Real Madrid, jadi dia juga akan berjaya di mana-mana,” kata Fellaini kepada Telefoot.

Di Maria sewaktu melakukan latihan. – AFP
Di Maria sewaktu melakukan latihan. – AFP

Fellaini bagaimanapun cuba menjelaskan kenyataannya itu yang mungkin disalah tafsir sesetengah pihak dalam akaun Twitter.

Kelmarin, dia dalam statusnya menulis: “Di Maria merupakan pemain yang baik untuk mana-mana kelab kerana dia adalah pemain yang hebat.”

Skuad kendalian Louis van Gaal mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris musim ini di tangga keempat, sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu apabila mereka terlepas peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara di bawah kendalian David Moyes.

Di Maria bergelut dalam musim pertamanya di Old Trafford, malah dia menerima kecaman hebat daripada penyokong United selepas hanya menjaringkan empat gol daripada 32 penampilan dalam semua pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA