Di Maria lulus ujian kesihatan

Di Maria lulus ujian kesihatan

DOHA, 6 Ogos – Pemain antarabangsa Argentina Angel di Maria semakin hampir untuk menyertai Paris Saint-Germain selepas selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Doha, kelmarin.

Pemain berusia 27 tahun itu menjalani beberapa ujian di hospital sukan Aspetar selepas mendapat pelepasan Manchester United dan berlepas ke ibu negara Qatar untuk berbincang dengan wakil PSG.

Kedua-dua kelab bersetuju dengan yuran pelepasan sebanyak 44.3 juta pound yang ditetapkan ke atas Di Maria yang masih mempunyai baki kontrak setahun di Old Trafford.

United membeli Di Maria dengan harga 59.7 juta pound dari Real Madrid musim panas lalu tetapi pemain sayap itu gagal mempamer aksi baik ketika hujung musim walaupun cemerlang pada awalnya.

Selepas meledak tiga gol dan membantu empat jaringan lain sepanjang enam aksi pertama United, Di Maria lebih banyak menghabiskan masa di tepi padang gara-gara kecederaan dan tidak mendapat perhatian pengurus Louis van Gaal.

Angel di Maria lulus ujian kesihatan di Doha, kelmarin untuk perpindahan bernilai 44.3 juta pound ke PSG. – Reuters
Angel di Maria lulus ujian kesihatan di Doha, kelmarin untuk perpindahan bernilai 44.3 juta pound ke PSG. – Reuters

Dia hanya sekali turun selaku kesebelasan utama sepanjang 10 perlawanan terakhir dan jaringan penutupnya bersama United ketika menang 2-0 ke atas Yeovil Town di pusingan ketiga Piala FA, Januari lalu.

Di Maria turut gagal menumpukan perhatian selepas rumahnya di Cheshire dimasuki pencuri, Februari lalu.

Sejak insiden berkenaan, bintang Argentina itu menetap di sebuah apartmen di Manchester bersama keluarganya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA