Di Maria musn...

Di Maria musnahkan Barcelona

PARIS, 15 Feb – Angel Di Maria menjaringkan dua gol menakjubkan di hari ulang tahunnya ketika Paris Saint-Germain (PSG) dengan bergaya membelasah Barcelona 4-0 di Parc des Princes dalam perlawanan pertama peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Di Maria, bekas bintang Real Madrid, membuka jaringan di minit ke-18 dan membuat sepakan melencong 10 minit selepas perlawanan disambung dalam separuh masa kedua bagi meraikan ulang tahunnya ke-29 dengan bergaya.

Pembelian Januari, Julian Draxler juga menemui sasaran di antara jaringan Di Maria, sementara Edinson Cavani menandakan hari jadinya ke-30 dengan memasukkan namanya dalam senarai penjaring di minit ke-71 di ibu negara Perancis tersebut.

Barcelona terkejut sepenuhnya, kekalahan paling memalukan mereka dalam persada Eropah sejak kalah dengan agregat 7-0 kepada Bayern Munich dalam perlawanan separuh akhir 2013.

Mereka kini berdepan dengan penyingkiran awal daripada kejohanan, sebelum mencapai suku akhir dalam tempoh sedekad, melainkan mereka mampu melakukan keajaiban dengan menterbalikkan nasib mereka dalam perlawanan kedua di Camp Nou bulan depan.

Bintang PSG, Angel Di Maria (dua kiri) meraikan jaringan pertama perlawanan menerusi sepakan percuma dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Parc des Princes. – AP
Bintang PSG, Angel Di Maria (dua kiri) meraikan jaringan pertama perlawanan menerusi sepakan percuma dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Parc des Princes. – AP

Ia adalah malam PSG, dan pasukan Unai Emery kelihatannya pasti mencapai peringkat suku akhir buat kali kelima berturut-turut.

“Untuk menang 4-0 ke atas Barcelona di hari jadi saya adalah menakjubkan, kami sangat gembira. Ia adalah perlawanan sempurna dan kami sangat gembira dengan keputusan itu,” kata Di Maria.

“Untuk mara, kami perlu menghasilkan persembahan yang serupa. Kami telah menjaringkan empat gol tetapi mereka mampu melakukan perkara yang sama.”

PSG telah dua kali disingkirkan daripada Liga Juara-Juara oleh Barcelona dalam empat musim sebelum ini, dan Catalan juga mempunyai rekod baik menentang pasukan-pasukan kendalian Emery, hanya kalah sekali daripada 23 pertembungan.

Tetapi pasukan Luis Enrique, daripada kesemua kebijaksaan Lionel Messi, kebelakangan ini kelihanya lemah dan juara Perancis tidak menunjukkan sebarang ketakutan. – AFP